Oleh:
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
Pengenalan
Rasulullah
S.A.W telah mengasaskan negara Islam yang pertama di Madinah Al-Munawwarah pada
tahun 622 Masehi bersamaan tahun pertama Hijrah dengan memperkenalkan satu
piagam atau perlembagaan yang dinamakan Piagam Madinah. Ianya menjadi satu
titik permulaan sistem perlembagaan didunia dan menjurus kepada asas
pembentukan negara Islam yang mengamalkan dasar syariat Islam walaupun didiami
pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza bangsa. (Wikipedia).
Oleh itu, objektif kajian ini akan membincangkan
konsep pengertian negara Islam secara holistik menurut pandangan alim ulamak,
perbincangan tujuan sesebuah negara Islam dan juga ciri-ciri negara Islam
berdasarkan Maqāsid Syariah, tanggungjawab
seterusnya negara Islam berperanan menjamin keselamatan dan keamanan seluruh
umatnya menuju ke arah ”Baldatun
Thoyyibatun Warabbun Ghafur”.
Di dalam sesebuah negara Islam, rakyat menjadi
penduduk dan mempunyai pelbagai status atau pun berlainan agama. Kajian ini
akan membincangkan tanggungjawab negara Islam didalam melindungi hak-hak rakyat
secara adil dan saksama. Akhir sekali, perbincangan perbandingan hak-hak rakyat
muslim dan non muslim akan dinyatakan berdasarkan sumber Al-Quran.
Perbandingan hak-hak warganegara muslim dan non
muslim dengan realitinya di Malaysia juga akan dilihat dari perspektif Islam
dan juga sumber Perlembagaan Malaysia
di dalam kelakuan dan tindakan yang dibenarkan
atau pun dilarang diantara kedua-dua hak warganegara ini.
PENGERTIAN NEGARA ISLAM
Menurut Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi
(2012), istilah negara adalah suatu tempat yang mempunyai beberapa bidang
tanah, mempunyai bilangan rakyat yang menduduki tanah tersebut, mempunyai
undang-undang yang digubal dan pentadbiran dilaksakan dengan kemas dan teratur.
Sebagai contoh, Negara Malaysia adalah merujuk
kepada negara yang mempunyai tanah atau pun kawasan yang tertentu. Malaysia
juga mempunyai rakyat dan masyarakat yang tinggal bersama-sama dibawah
pentadbiran yang seragam dan penggubalan undang-undang bagi memastikan keamanan
terpelihara.
Di dalam bahasa Arab ‘negara’ diistilahkan sebagai
’Daulah’ (دولة). Asal maksud daulah
adalah penguasaan. Namun dengan istilah yang telah digunakan, setakat kajian
yang telah dirujuk, agak sulit dan sukar untuk menjumpai lafaz daulah dalam
karya yang telah ditulis oleh ulamak silam kerana istilah ini adalah satu
pengertian yang baharu. Lafaz yang wujud dan biasa digunakan ialah Dar
(دار). Lafaz Dar ini mungkin boleh difahami sebagai wilayah atau
kawasan. (Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi 2012).
Menurut Abd. Karim Zaidan (2000), para fuqaha Islam telah mengistilahkan negara
Islam sebagai ”Darul Islam”. Darul Islam ialah tempat di mana syiar Islam itu
benar-benar jelas mempunyai hukum atau kekuatan orang-orang Muslimin.
Pengertian ini tidak jauh bezanya dengan Istilah negara dalam pengertian
undang-undang moden. Istilah di atas jelas menunjukkan negara Islam itu
didasari dengan Islam sebagai tunjang atau pokok utama yangg dilihat sebagai
kekuatan bagi membina negara. Setelah negara dibina, maka undang-undang Islam
sepenuhnya memainkan peranan penting tanpa dipisahkan dari prinsip Islam itu
sendiri.
Ahli
bijak pandai Islam telah memberi istilah yang global tentang Negara Islam.
Ringkasnya Negara Islam ialah sebuah negara yang dibina dan diasaskan kepada
asas akidah Islam (Abdul Karim Zaidan 2000).
Di
samping itu, negara Islam atau “Dar al-Islam” bermaksud negara yang
melaksanakan undang-undang dan hukum-hukum Islam serta tampok pemerintahnya
diperintah oleh individu yang beragama Islam dan tidak mengira bangsa walaupun
bangsa yang berlainan. Juga keselamatan rakyat perlu dititikberatkan agar
menjadi satu negara yang selamat dan bebas.
Para
sarjana Islam telah bersatu didalam persepakatan mereka bagi membawa maksud dan
istilah prinsip negara Islam perlulah melaksanakan hukum Islam secara holistik.
Tetapi ada juga pendapat mereka ini menjadi satu kekhilafan atau pun berbeza
pendapat tentang sesebuah negara Islam yang bertukar kepada pemerintahan
‘negara kafir’. Selain itu pelbagai istilah yang telah digunakan untuk
mengklasifikasikan negara yang tidak baik seperti ‘negara jahil/bodoh’,
‘negara fasiq’ ‘negara menyeleweng’ dan ‘negara sesat’ sepertimana
yang diterangkan oleh al-Farabi. Bagi pendapat sarjana Islam juga, negara
Madinah adalah model atau pun contoh terbaik yang mengamalkan konsep negara
Islam sepenuhnya.
Negara Islam yang tidak didasari atau dipisahkan
diantara kehendak agama dan pemikiran manusia di panggil ”Sekularisme”. Menurut
H.Oemar Bakry (1984), Sekularisme ialah suatu pandangan bahawa pengaruh
organisasi agama harus dikurangi sejauh mungkin dan bahawa moral dan pendidikan
harus dipisahkan dari agama. Ini adalah disebabkan sekular tidak boleh terima
sama sakali perhubungan agama atau perkaitan rohani.
Sebagai memetik realiti status negara Malaysia
sebagai negara Islam. Secara pentadbiran dan politik diterima umum Malaysia
adalah sebuah negara Islam. Ini adalah kerana Malaysia telah menganggotai OIC
dan Islam berdasarkan kefahaman OIC. Hakikat sebenar Malaysia belum memenuhi
syarat sebagai negara Islam sepenuhnya. Kerangka Islam masih belum menguasai
negara ini berdasarkan praktikal aspek undang-undang, mahkamah syariah masih
lagi tidak berada sama taraf dengan mahkamah sivil.
Menurut sebahagian sarjana muslim, Malaysia adalah
negara Islam. Namun banyak lagi perkara yang wajar dilakukan demi memantapkan
lagi kedudukan Malaysia sebagai negara Islam. Oleh itu, secara dasarnya
Malaysia adalah genara Islam namun banyak lagi mesti dilakukan untuk mencapai
standard negara Islam yang lebih baik.
Menurut Yusuf Al-Qardhawi (2009), negara Islam ini
bukanlah negara ”Teokrasi” (negara agama) yang memerintah sesuatu negara dengan
menggunakan nama Tuhan, tetapi negara Islam juga merupakan negara sivil yang
menjadikan ajaran Islam sebagai rujukan. Ianya bukan negara agama (teokrasi) seperti
difahami barat. Sejarah barat juga telah membuktikan pernah kebangkitan rakyat
mereka menentang kekuasaan gereja. Ini adalah kerana, dasar negara agama yang
diamalkan oleh negara barat adalah mengongkong dan tidak memenuhi kehendak
rakyat mereka sendiri.
Kenyataan ini telah dibuktikan semasa zaman
Khalifah Islam yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang telah
menegaskan jangan mentaati beliau jika dia menderhakai Allah. Dalam Islam,
kerajaan atau khalifah bukan wakil Allah. Sebaliknya mereka semua ini adalah
wakil dari umat itu sendiri. Umar Al-Khattab juga pernah berkata, sesiapa yang
melihat beliau melakukan penyelewengan, beliau minta diperluruskan.
Oleh itu, negara Islam adalah satu negara sivil
(awam) yang terdiri di atas prinsip pemilihan, baiah dan syura. Seorang muslim
berhak menolak sebarang perintah yang
bercanggah dengan syariat Allah S.W.T.
TUJUAN NEGARA ISLAM
Abd. Karim Zaidan (2000) telah menjelaskan negara
Islam ialah negara yang berlandaskan pemikiran atau akidah Islam dan apa yang
terkandung di dalamnya adalah perlu diperakui. Apabila dasar pemikiran Islam
ini menjadi asas pembinaannya, ia menjadi satu peraturan yang diterima pakai
oleh semua golongan manusia dimuka bumi ini, seterunya meluas ke seluruh alam.
Islam sebagai satu agama yang menjamin keselamatan
lengkap dengan tata cara hidup yang damai. Justeru itu tujuan negara Islam sejajar
dengan konsepnya jika dibina dengan keyakinan yang tinggi, bersistem dan boleh
diterima pakai bagi setiap zaman, masa dan keadaan. Justeru itu, jika negara
Islam diganggu gugat maka pelaksanaan hukum-hukum akan dilaksanakan dengan
adil.
Setiap orang muslim, konsep ibadah menjadi agenda
didalam kepatuhan tehadap Allah S.W.T. Setiap keselamatan beribadah ini akan
dijamin oleh pemerintah Negara Islam. Setiap perkara yang menyebabkan terhalang
segala muamalah diantara manusia dan Allah S.W.T juga perlu di hapuskan dibawah
pemerintahan negara Islam.
Oleh itu adalah berkepentingan sesebuah negara
Islam dibina atas tujuan dan matlamat untuk melindungi kepentingan individu
(rakyat) dan masyarakat dengan cara atau sistem yang telah digariskan oleh
Allah SWT. Apabila negara mengikut lunas-lunas seperti yang telah disebutkan di
atas maka itu bereti ia telah menjamin masa depan umat dan rakyat, di dunia dan
akhirat.
CIRI-CIRI NEGARA ISLAM
Menurut Muhammad Al Ghazali (2014), diantara ciri-ciri
negara Islam adalah Musyāwarah. Musyawarah bermaksud meminta nasihat
pada yang pakar, tunduk pada kebenaran apabila telah nampak kebenarannya.
Musyawarah didalam negara Islam adalah berkepentingan bagi memastikan keadaan
yang mana hak dikatakan hak dan salah dikatakan salah. Musyawarah juga dikenali
elemen akhlak manusia yang tinggi serta terpuji dalam masyarakat dahulu dan
sekarang. Ia telah dikenali dalam sistem pemerintahan sejak dahulu, meskipun
ramai sekali orang yang terkeluar dari asas ini dan bukan sedikit pemimpin berani
yang menafikannya.
Muhammad Al-Ghazali (1989), telah menyokong pendapat ini yang menyatakan
musyawarah dilaksanakan bagi memperoleh kebenaran tertentu dari para ahli di bidang
masing-masing, menampung setiap kebenaran yang tempak, dan menciptakan suasana
untuk membenarkan yang benar dan menyalahkan apa yang batil. Prinsip musyawarah
adalah mencerminkan perangai kemanusiaan yang tinggi, dipandang mulia oleh
semua masyarakat baik yang lama mahu pun yang baharu, dan sudah dikenal dalam
berbagai sistem kekuasaan sejak zaman dahulu, walaupun dikemudian hari ramai
orang yang meninggalkannya dan ramai pula orang-orang zalim yang tidak
mengendahkannya. Sebagai contoh, Al Baghwiy meriwayatkan bahawa Siti Aisyah R.A
pernah menyatakan sifat Rasulullah S.A.W orang yang sering bermusyawarah dengan
orang lain mengenai urusan dunia, kemaslahatan umum selagi tidak ada wahyu yang turun mengenai
sesuatu persoalan.
Ciri-ciri negara Islam menurut Muhammad Al-Ghazali
ialah umat Islam sumber kekuasaan yang mereka tegakkan di bawah pimpinan
Rasulullah S.A.W. Maksud “sumber kekuasaan” disini ialah umat Islam sendiri
berhak memilih orang-orang yang akan diberi kepercayaan mengurus kepentingan
mereka.
Yusuf Al Qaradhawi (2009) juga telah menyatakan diantara ciri-ciri
negara Islam ialah menjadikan Islam sebagai sumber rujukan. Negara Islam juga
menjalankan pemerintahan di atas dasar-dasar pemerintahan yang disyorkan
didalam Islam seperti dasar hukum perundangan Islam, baiah dan majlis syura.
Disamping itu kriteria pemimpin negara Islam juga dipimpin dari kalangan
pemimpin yang benar-benar berkelayakan, beramanah dan berpengetahuan luas,
menguasasi ilmu fiqh dan berkemampuan berijtihad.
Negara Islam juga bukan satu sistem pemerintahan
dinasti iaitu tampok pemerintahan diturunkan kepada keturunan seseorang raja.
Tetapi negara Islam diasaskan atas musyawarah, bukan atas kuasa raja. Apabila
sistem syura dilaksanakan, tidak bererti negara Islam menyamai sistem
demokratik barat, Cuma pemilihan pemerintah berhak dipilih oleh rakyat sendiri
berasaskan pendirian Islam yang jitu.
Negara Islam juga adalah negeri hidayah. Apabila
negara Islam telah dibina, aktiviti
mengembangkan dan menyampaikan risalah daulah Islamiyah perlu dipertingkatkan.
Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi (2012) telah
menyenaraikan ciri-ciri negara Islam. Diantaranya dibawah negara Islam;
1. Umat muslim perlulah
berasa aman untuk mengamalkan agama mereka.
2. Syiar Islam dapat
ditegakkan (azan dapat dilaungkan, solat berjamaah, aktiviti di masjid dan
sebagainya).
3. Hukum-hukum Islam
dalam bidang perundangan ditegakkan atau paling kurang berpotensi untuk
ditegakkan (hukum hudud).
4. Dakwah Islam dapat
berjalan dengan baik.
Kesimpulannya disini, ciri-ciri negara Islam
adalah berkait rapat dengan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T bagi
menjaminkan kesejahteraan ummah. Pokok utama yang paling penting ditekankan
disini adalah konsep pemilihan pemimpin secara sistem syura yang mana umat itu
sendiri berhak memilih pemimpin yang dirasa tebal dengan syariah dan konsesi
Islamnya. Akhirnya negara Islam akan menuju kearah keadilan, bertamadun,
mengejar kemajuan dunia, hukum Islam didaulatkan, rasuah diperangi
sungguh-sungguh, kebajikan masyarakat diutamakan, pemimpin yang adil dan penuh
dengan segala nilai positif.
PERANAN DAN TANGUNGJAWAB SESEBUAH KERAJAAN
ISLAM
Tanggungjawab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat telah menyatakan mempunyai tanggung jawab terhadap dan memikul tanggung jawab. Oleh itu sebagai pemerintah dari sebuah kerajaan pertanggungjawab yang diamanahkan perlulah menepati hak-hak rakyat dibawah pemerintahannya.
Hak-hak yang diperolehi rakyat di bawah
pemerintahan Islam, adalah meliputi semua aspek kehidupan. Tidak cukup
sekiranya pemerintah hanya menyediakan undang-undang yang berkaitan dengan
hak-hak rakyat. Tetapi, cara bagi mencapai objektifnya juga perlu ada. (Mahmood
Zuhdi Abdul Majid 2010).
Seperti yang telah dibincangkan tujuan negara
Islam, konteks negara Islam adalah berlandaskan sumber dari syariah Islam.
Tetapi perlu diingat, Islam juga membela umatnya dalam apa juga waktu dan
keadaan bergantung kepada nilai-nilai yang dihadapinya. Justeru itu peranan dan
tanggungjawab seorang pemerintah Islam adalah:
- Pemerintah wajib melindungi nyawa dan
tubuh badan.
Islam menitik beratkan keselamatan
nyawa dan tubuh badan. Manusia dilarang sama sekali menumpahkan darah malahan
membuat sesuatu kekejaman diantara satu sama lain. Peraturan ini dapat dilihat
dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda,
المسلمون على المسلم حرام عرضه وماله ودمه
“Maruah,
harta dan darah setiap orang Islam adalah haram bagi orang Islam lain.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Selain itu, setiap perkara yang boleh merosakkan tubuh
badan dan mengancam nyawa atau melemahkan adalah dilarang, larangan dalam
penyalah gunaan seperti dadah, candu, heroin dan sebagainya, perkara yang
memabukkan atau memakan benda yang boleh mendatangkan wabak, penyakit dan
bahaya kepada badan.
Pemerintah juga perlu menjamin setiap perkara yang
berhubung dengan hidup dan nyawa serta membawa kepada keselamatn tubuh badan
rakyat dikira wajib seperti memelihara keselamatan pekerjaan, memelihara
kesihatan, merawat dan mencegah daripada penyakit atau mengawal wabak-wabak dari
menular.
- Pemerintah wajib melindungi hak dan kebebasan peribadi
Sebagai seorang pemerintah Islam, tanggungjawab bagi
melindungi hak dan kebebasan individu perlu dilaksanakan. Kenyataan ini
bersesuaian dengan larangan Allah S.W.T mencampuri dalam hal-hal peribadi orang
lain. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud,
“Wahai orang beriman, jauhilah prasangka. Sebahagian
dari prasangka adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang
lain dan janganlah kamu mengumpat orang lain. Adakah kamu suka makan daging
saudaramu yang sudah mati? Tentulah kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah pada
Allah. Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hujurat, ayat 21)
- Pemerintah wajib melindungi hak dan kebebasan untuk tinggal dan
berpindah
Menurut Abdul Karim Zaidan (2003), individu dalam Negara Islam menikmati kehormatan tempat tinggal iaitu orang lain tidak boleh masuk ke rumahnya kecuali dengan izin dan keredaannya. Ini kerana tempat tinggal seseorang merupakan tempat simpanan rahsia dan tempat kediaman keluarganya. Sebarang pencerobohan terhadap kediamannya merupakan pencerobohan terhadap kediamannya merupakan pencerobohan terhadap dirinya. Oleh itu tidak diharuskan.
Pemerintah Islam juga harus memberikan
kebebasan kepada rakyat untuk tinggal dan berpindah. Allah S.W.T telah
berfirman yang bermaksud:
“Orang yang dimatikan malaikat dalam keadaan menganiaya
diri sendiri, (pada mereka) malaikat bertanya, dalam keadaan bagaimana kamu
ini? Mereka menjawab, kami adalah orang yang
tertindas di negeri (Makkah). Para malaikat berkata, bukankah bumi Allah
itu luas sehingga kamu boleh berpindah ke tempat lain?”
(Surah an-Nisak, ayat 97)
- Pemerintah wajib melindungi hak dan kebebasan beragama dan
berfikir.
Menurut Abdul Wahab Khallaf (2003), Islam membenarkan hak
individu bebas menganut sebarang aqidah. Hal ini disebabkan Islam sendiri menjadikan
pengkajian dan penelitian itu sebagai asas tauhid dan keimanan bukannya melalui
tekanan dan paksaan, ataupun ikut-ikutan dan taqlid.
Islam juga
melihat kepada subjek yang melibatkan soal keagamaan atau tidak. Jika bukan
agama, Individu berhak mengemukakan pandangan berdasarkan pengamatannya dan
menjelaskan dengan cara yang sedia ada padanya. Jika perkara yang menyentuh
keagamaan, setiap individu boleh melakukan ijtihad selagi ia tidak terkeluar
daripada skop nas dan berada didalam batasan-batasan prinsip umum Islam dan
nas-nas yang sahih.
Allah
S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan (memeluk) agama (Islam), jelaslah
jalan yang benar daripada jalan yang salah.”
(Surah al-Baqarah, ayat 256)
PERBANDINGAN HAK RAKYAT MUSLIM DAN NON MUSLIM YANG DIJAMIN OLEH ISLAM
DENGAN REALITINYA DI MALAYSIA
Malaysia
adalah sebuah negara yang dibina di atas sistem demokrasi berparlimen. Seperti
yang telah dibincangkan dari awal, ada sebahagian pendapat yang menyatakan
bahawa Malaysia masih lagi Negara Islam, malahan ada yang berpendapat Malaysia
belum lagi diiktiraf sebagai Negara
Islam sepenuhnya kerana masih lagi memisahkankan undang sivil dan syariah. Oleh
itu, di antara asas-asas yang menjadi dasar sistem-sistem kerjaan
berpelembagaan ialah menjamin hak-hak individu dan mengamalkan dasar persamaan
dalam menikmati hak-hak tersebut. (Abdul Wahab Khallaf 2003).
Pentadbiran Malaysia dibina dengan berasaskan satu perlembagaan yang
dinamakan perlembagaan Malaysia. Di dalam perlembagaan ini, segala sistem pentadbiran
dan undang-undang negara digubal dan kandungannya termasuklah kandungan kuasa
kerajaan persekutuan, negeri dan sebagainya.
Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan terhadap hak asasi dan
kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini. Selain itu
ia menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kesimpulannya, perlembagaan Malaysia
ini jika dilihat tidak jauh bezanya dengan tampok pemerintahan negara Islam
yang lebih holistik. Cuma perlembagaan ini lebih bersifat sekularisme iaitu
memisahkan sesuatu dengan Islam itu sendiri.
Menurut
Saari Sungib (2011), dalam Islam, penyempurnaan hak-hak Allah akan menjamin
kesejahteraan hak-hak seluruh manusia dan setiap makhluk ciptaan-Nya. Dasar hak
asasi manusia dalam Islam adalah bertunjangkan kepada usaha menegakkan hak-hak
kolektif melalui penyempurnaan tanggungjawab individu. Motif individu dalam
menjalankan tanggungjawab pula didorong oleh perasaan taat, pasrah dan cinta
kepada Allah dan Rasul-Nya.
Hak
individu (keperibadian) dan tanggungjawab negara kepada rakyatnya berkaitan
antara satu sama lain. Individu bekerja untuk membantu keutuhan dan kebaikan
Negara. Manakala Negara pula perlu memastikan keamanan individu dari segi jiwa
dan material.
Hak
umum bagi individu juga ialah hak asasi manusia disebabkan dia merupakan salah
seorang anggota masyarakat. Hak-hak ini amat diperlukan dan diperakui demi
menjaga diri, kebebasan dan harta bendanya. (Abdul Karim Zaidan, 2003).
Oleh itu, pemerintah Negara perlu memastikan
individu-individu menerima hak-hak mereka. Diantara hak individu yang pemerintah perlu
diambil kira adalah:
1.
Hak-hak
politik bagi semua individu. Bagi setiap individu yang bebas dan tinggal dibawah
pemerintahan yang aman, mereka berhak memilih pemimpin berdasarkan kedudukan
sebagai anggota pertubuhan, mereka berhak memilih pemimpin berdasarkan
kedudukan sebagai anggota pertubuhan politik. Seterusnya menumbangkan tenaga
mengurus urusan Negara atau mengendalikan urusan pemerintahannya. Tetapi bagi
realitinya sistem pemerintahan di Malaysia
2.
Hak memilih
ketua Negara dan melucutkan jawatannya. Setiap individu mempunyai hak memilih
ketua Negara. Oleh itu sesiapa yang terpilih untuk jawatan ini, dia adalah
ketua Negara yang sah.
3.
Hak diminta
pendapat (mesyuarat). Bagi memastikan keamanan berkekalan, individu berhak
memberikan pendapat atau pun bermesyuarat dalam segala perancangan yang
berkaitan dengan urusan umat yang hendak dilaksanakan. Ini kerana, ada pemimpin
atau ketua Negara yang melakukan perkara yang memudharatkan umat, maka rakyat
perlu diberikan hak member pendapat.
4.
Hak Kebebasan
berfikir dan bersuara. Hak ini adalah hak individu yang terpenting dalam
Islam.Negara tidak boleh mengurangkan hak tersebut dan individu tidak harus
mengabaikannya. Ia penting kepada penegakan keperibadian , pemikiran dan
kemanusiaan seseorang dan suatu kemestian kepada individu muslim untuk
melaksanakan fardhu-fardhu Islam. Persoalan amar maarof dan nahi mungkar adalah
di antara kefardhuan Islam yang terpenting.
5.
Hak ilmu dan
pendidikan. Kepentingan ilmu menjadikan amalan diterima. Keikhlasan kepada
Allah dan bertepatan dengan syarak akan dimakbulkan Allah. Ini adalah kerana
ilmu adalah penting terutamanya fardhu ain dan fardhu kifayah bagi perkara yang
menyentuh tentang hal-hal ibadah. Oleh
itu negara perlu memudahkan rakyat menuntut ilmu kerana terdapat sunah nabawiah
yang menunjukkan kewajipan Negara memudahkan individu mendapatkan ilmu
pengetahuan. Sirah Nabi S.A.W ada menyebut :
“Menebus tawanan perang Badar adalah dengan membayar sebanyak 40 uqiyyah dan bagi yang tidak mampu hendaklah mengajar 10 orang muslimin.”
“Menebus tawanan perang Badar adalah dengan membayar sebanyak 40 uqiyyah dan bagi yang tidak mampu hendaklah mengajar 10 orang muslimin.”
Peristiwa ini menunjukkan Negara wajib memberikan pelajaran
kepada rakyat.
Sistem pemerintahan Islam yang adil ini meliputi bagi semua
individu yang berada dibawah pemerintahannya meskipun pelbagai bangsa dan
agama. Hak-hak individu tidak hanya tertumpu kepada orang Islam, malahan bukan
Islam juga diberi hak-hak. Dalam sejarah Islam bermula daripada pemerintahan
Rasulullah S.A.W. sehinggalah kepada pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyyah, walaupun
dibawah pentadbirannya mempunyai orang-orang bukan Islam namun perolehan hak
tidak diabaikan. Mereka tidak pernah mengecapi kebebasan yang sebenarnya
kecuali setelah berada dibawah pemerintahan
Islam.
Kebebasan individu bukan muslim terjamin berdasarkan kaedah
yang telah ditetapkan oleh Ahli Fikah muslimin:
لَهُمْ مَالَنَا
وَعَلَيْهِمْ مَا عَلَيْنَا
“Hak dan kewajipan mereka sama dengan hak dan kewajipan kita”
“Hak dan kewajipan mereka sama dengan hak dan kewajipan kita”
Ahli
perundangan Islam membahagikan rakyat yang bukan Islam kepada beberapa
kategori. Antaranya:
- Kafir Dhimmi adalah golongan yang setia
kepada negara Islam. Sehingga segala perjanjian yang telah dimerterai
hendaklah dijaga.
- Tawanan perang
adalah tawanan yang telah tewas dan ditahan atas kesalahan tentangan
kepada Islam. Mereka dibawah pengawasan negasa Islam dengan cara membayar
cukai pada kadar tertentu tetapi kehidupan harian mereka tidak diganggu.
- Orang bukan Islam
yang menetap di negara Islam dan menjadi rakyat negara berkenaan.
- Orang bukan Islam
yang tinggal di negara Islam buat sementara waktu seperti pelancong atau
pengembara.
- Penduduk asing yang secara
sukarela memilih untuk tinggal di dalam negara Islam
Menurut
Luqman Bin Hj Abdullah yang
telah membentangkan Kerangka Asas dalam Pembinaan Hukum Fiqh Masyarakat
Bukan Islam Masa Kini, 23-24 Disember 2009 telah menyenaraikan hak-hak
bukan Islam diantaranya:
- Hak kehidupan secara aman dan bernaung di bawah kedaulatan Negara.
Mereka boleh menetap dengan aman dan darah, harta dan maruah mereka
dilindungi oleh Negara. Sebarang pencerobohan ke atas mereka samada dari
orang Islam, zimmi atau harbi akan mendapat perlindungan dari pemerintah
Islam.
- Hak untuk menetap dan berpindah dalam Negara. Mereka boleh menetap
di mana-mana tempat dan berpindah di mana tempat dalam Negara samada untuk
urusan perniagaan dan sebagainya tanpa sebarang gangguan. Walaubagaimanapun
para fuqaha sepakat mengecualikan hak ini kepada mereka dalam tanah Hijaz
berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berhimpun dua agama di
tanah Arab”.
- Hak untuk melaksanakan urusan muamalat. Dalam hal ini mereka boleh
berurusan jual beli, sewa menyewa dan gadai menggadai seperti orang Islam
tanpa dibezakan. Mereka dibenarkan dalam ruang lingkup muamalat Islam yang
tidak melibatkan riba. Pengecualian hanya dalam isu penjualan arak dan
babi yang mana zimmi dibenarkan sesama mereka dengan syarat tidak
menzahirkannya secara terangan sekiranya dalam kawasan orang Islam.
- Hak untuk melaksanakan ibadah keagamaan mereka. Mereka diberikan
hak untuk melaksanakan upacara agama mereka tanpa meninggikan syiar
mereka. Oleh kerana Islam bukan satu agama yang memaksa pihak lain untuk
memeluk Islam, maka Islam juga memberi ruang dan hak untuk orang bukan
Islam melaksanakan keperluan asas mereka dalam beragama. Begitu juga
mereka dibenarkan membina rumah ibadah mereka. Dalam hal ini jumhur fuqaha
mengatakan mereka dibenarkan membina rumah ibadat mereka dalam kawasan
mereka.
Kewajipan
pemerintah Islam juga adalah memastikan setiap rakyatnya menerima pendidikan
bagi semua peringkat ini termasuklah peringkat kecil hingga dewasa. Oleh itu
setiap rakyat yang bukan beragama Islam tidak boleh melarang sama sekali anak
mereka yang masih dibawah jagaan mereka untuk menerima pendidikan Islam
diinstitusi pendidikan didalam negara yang mengamalkan Islam. Segala peraturan
ini adalah perlu dituruti kerana orang dhimmi
ini pada dasarnya telah menyokong dan mematuhi segala apa yang telah ditetap
oleh pemeritah negara Islam. (Ismail al-Faruqi 2008).
Ismail al-Faruqi juga menambah, hak rakyat bukan Islam juga diberi kebebasan untuk meyakinkan pandangannya pada orang Islam. Ini kerana ianya dipandang satu konteks keadilan dan keharmonian diantara dua pandangan sambil mereka boleh membalas hujah masing-masing. Jika dilihat dari sudut dakwah, sudah tentulah kebenaran dapat dilihat dan diakui dari sudut perspektif Islam. Walaupun Ismail al-Faruqi berhujah atas dasar keharmonian, apa yang ditakutinya hak orang Islam ini akan bertukar kepada hasutan dan pengkhianatan dan seterusnya mencetuskan perkelahian. Justeru itu, negara Islam yang memerintah mempunyai hak untuk menyekat kebebasan ini.
Hak
untuk berseronok juga amat ditekankan kepada orang bukan Islam. Mereka boleh
berhibur disamping meluahkan perasaan mereka dari segi karya mahupun bidang
kesenian. Tetapi apa yang dilarang oleh pemerintah negara Islam mereka tidak
boleh menyuntik minda keseronokan dan meruntuhkan moral masyarakat setempat.
HAK WARGANEGARA MUSLIM DAN NON MUSLIM DENGAN REALITINYA DI MALAYSIA
Di dalam bahasa Inggeris Kewarganegaraan disebut citizenship merupakan
suatu bentuk keahlian kepada sebuah komuniti politik yang membawa kepada
hak-hak penyertaan politik. Menurut wikipedia, pada asalnya ia digunakan dalam
konteks keahlian dalam sesebuah bandar, namun ia telah diperluas kepada sebuah
negara. Maka, individu yang mempunyai hak dan keahlian ini disebut warganega. Istilah
kewarganegaraan dan kerakyatan atau nationality seperti sama tetapi berbeza. Perbezaannya ialah, seseorang
warganegara mempunyai hak-hak untuk menyertai bidang politik negaranya seperti
mengundi atau menjadi calon pilihanraya, sedangkan seorang rakyat tidak
seharusnya mempunyai hak-hak tersebut. Istilah kerakyatan mempunyai makna
yang lebih umum berbanding warganegara, maka penggunaan 'kewarganegaran' secara
langsung merangkumi kehendak istilah 'kerakyatan'.
Di Malaysia, perlembagaan yang dibentuk melalui persekutuan ini adalah
meliputi kesemua hak dan kesamarataan warganergara. Tetapi ada perkara yang
sepatutnya tidak dapat dilakukan oleh non-muslim bagi menjaga hak istimewa
orang muslim. Dalam membicarakan tanggungjawab warganegara non-muslim untuk mematuhi
undang-undang, tanggungjawab seseorang warganegara bukan sahaja meneruskan
kelangsungan kemerdekaan dan mengisinya dengan pengisian positif, tetapi yang
lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab melaksana dan menghormati peruntukan
Perlembagaan.
Sekiranya seseorang warganegara menerima Perlembagaan itu adalah
undang-undang tertinggi negara yang meletakkan garis panduan dan prinsip
tertentu, maka Perlembagaan juga menyatakan tanggungjawab ke atas semua warga
untuk melaksanakannya. Warganegara atau rakyat tidak boleh mengganggap diri
mereka semata-mata hanya sebagai pengguna Perlembagaan dan mengharap manfaat
daripada pelaksanaan prinsip Perlembagaan oleh pihak pemerintah.
Dari sudut undang-undang negara, non-muslim wajib mematuhinya sama ada
dalam bidang muamalat atau jenayah, disamping mereka juga terikat dengan
kehakiman Islam selama mereka berada dalam negara Islam. Apabila menyentuh
tanggungjawab non-muslim untuk menghormati agama Islam, mereka dilarang
melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasan orang Islam seperti menghina
Allah, kitab al-Quran dan Rasulullah saw, syi’ar Islam, individu muslim, atau
apa sahaja yang menyentuh kesucian agama.
Ada riwayat yang menceritakan terdapat perempuan Yahudi yang mencaci
Rasulullah S.A.W, lalu baginda menghalalkan darah perempuan tersebut serta
tidak menghukum pembunuh perempuan Yahudi itu. Selain itu, terdapat juga
riwayat seorang lelaki bernama Anas bin Zanim dari Bani Bakr telah menghina
Rasulullah, lalu baginda menghalalkan darah lelaki tersebut.
Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah mengadakan perjanjian
dengan penduduk Ilia’;
“Diberikan kepada mereka keamanan
terhadap diri, harta, gereja dan semua agama mereka. Hendaklah tidak didiami di
dalam gereja-gereja mereka dan tidak dikurangkannya, kebaikan dan salib mereka.
Mereka tidak boleh dipaksa meninggalkan ajaran mereja dan tidak boleh menyakiti
sesiapa pun di kalangan mereka.”
Berdasarkan larangan dua orang khalifah Islam iaitu iaitu Umar bin
al-Khattab dan Ali bin Abi Talib, non-muslim juga dilarang memasukkan babi dan
arak serta menjualnya secarang terang-terangan di kawasan orang Islam. Ia
dianggap tidak menghormati orang Islam serta mencabar perasaan mereka.
Di dalam perundangan dan kehakiman, terbukti orang bukan Islam turut
menerima hak dan hukuman yang sama dengan orang Islam. Mereka diadili
berdasarkan hukum Islam. Seperti dalam dua riwayat mengenai hukum qazf.
Bapa kepada Umar bin Rabi’ telah dituduh zina oleh seorang Yahudi. Kes ini
dihakimi oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Maka Yahudi tersebut telah
menjatuhkan had qazf ke atas Yahudi tadi. Di dalam kes
yang lain pula, seorang lelaki muslim telah menuduh zina terhadap seorang
wanita Kristian. Maka Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menjatuhkan had qazf
terhadap lelaki muslim itu dengan 80 kali sebatan.
Adalah menjadi tanggungjawab non-muslim memelihara perasaan orang Islam
dan menjadi rakan senegara dengan mereka yang beragama Islam. Begitu juga
dengan kedaulatan negara Islam yang memberikan pengawalan dan perlindungan kepada
diri dan harta benda mereka. Lantaran itu, mereka ditegah mencaci agama Islam,
rasulNya dan kitab suciNya.
Mereka dilarang menyebarkan sebarang ideologi atau idea yang
bertentangan dengan akidah negara dan agamanya. Kedudukan sebegini adalah
sejajar dengan kehendak perlembagaan Malaysia berkaitan dengan kebebasan orang
bukan Islam. Mereka dilarang menonjol-nonjol perbuatan meminum arak dan memakan
babi dan seumpamanya yang ditegah dalam Islam, begitu juga mereka ditegah
menjualkannya kepada orang Islam kerana perbuatan sedemikian boleh merosakkan
masyarakat Islam. Mereka juga dilarang menimbulkan sebarang isu sensitif umat
Islam, mempertikai syi’ar serta menjadi batu api dalam kelompok masyarakat
Islam.
Ketika bulan Ramadhan, mereka dilarang menonjolkan perbuatan makan dan
minum pada siang hari bagi menjaga perasaan masyarakat Islam. Apa sahaja yang
dipandang mungkar oleh Islam tetapi ia adalah harus dalam agama mereka, jika
mereka ingin melakukannnya, maka hendaklah secara terkawal dan tidak terang-terangan
serta dalam bentuk yang tidak mencabar perasaan orang Islam. Sebarang bentuk
gangguan terhadap agama lain juga adalah dilarang. Ia bertujuan supaya seluruh
anggota masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang damai dan bersatu-padu.
Terdapat juga larangan yang dikenakan terhadap setiap urusan yang
melibatkan riba’, khususnya dalam urusan kewangan dan jual beli.
Juga termasuk perniagaan yang berasaskan perkara yang diharamkan dalam
Islam seperti babi dan segala hasilan daripadanya, arak dan haiwan yang
diharamkan. Ia termasuk perniagaan yang dijalankan bertentangan dengan akhlak
dan etika Islam seperti mempamerkan aurat, lambang keagamaan secara umum dan
eksploitasi kemewahan dunia yang melampau.
Di dalam perkara yang melibatkan amalan non-muslim terhadap syi’ar
agama mereka pelaksanaan tanggungjawab terhadap agama mereka, mazhab Hanafi dan
Syafi’i mengatakan tidak harus secara mutlak (tidak dibenarkan) menzahirkan
lambang agama seperti memakai salib, membunyikan loceng-loceng gereja dan kuil,
membakar lilin dan sebagainya di tempat awam atau kawasan yang majoritinya
didiami orang Islam. Kecuali ia dilaksanakan di kawasan yang berasingan, tidak
secara terang-terangan terhadap masyarakat Islam. Ia berdasarkan kepada
kepentingan umum (maslahah ‘ammah) kerana ditakuti berlaku fitnah dan
suasana tidak tenteram dalam masyarakat.
Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardhawi berpendapat: “Apa yang
dituntut daripada non-muslim ialah memelihara perasan orang Islam dan kesucian
agama mereka. Mereka dilarang menonjolkan pelbagai syi’ar agama dan tanda salib
mereka di kawasan-kawasan penempatan orang Islam dan dilarang juga mereka
membina gereja di mana-mana kawasan Islam jika sebelum itu mereka tidak
mempunyai gereja di sana. Tindakan penonjolan dipandang sebagai mencabar
perasaan orang Islam dan kemungkinan akan membawa kepada timbulnya fitnah dan
keadaan tidak tenteram. Inilah amalan yang telah berlaku dalam sejarah orang
Islam sejak zaman permulaan lagi.”
KESIMPULAN
Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T bagi
membimbing hamba-Nya melalui Rasulullah S.A.W. Konsep Negara Islam yang dibina
adalah bersumberkan dua dasar dan sumber Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Ini telah terbukti dengan kita menyelusuri sejarah ketamadunan dan peradaban
umat Islam, jelas menunjukkan bagaimana keharmonian dikecapi di setiap amalan
dan tata cara Islam yang diamalkan dalam negara Islam telah melangkaui timur
dan barat dunia dan akhirnya mencapai kemajuan dan kemodenan.
Perlembagaan
Malaysia telah digubal hasil dari campur tangan penjajah ketika era kemerdekaan
Malaysia yang memisahkan diantara sumber Islam dan seterusnya menghalalkan
sekularisme. Walaubagaimanapun apabila sistem ciptaan manusia ini sebenarnya
tidak dapat memenuhi hak keadilan dan kesamarataan sepenuhnya malahan
menimbulkan pelbagai masalah.
Bagi memastikan Malaysia akan selamat dan hidup aman dan damai,
perlulah kembali kepada Islam. Inilah keindahan Islam mengatur kehidupan
manusia keseluruhannya. Islam bukan mentadbir kehidupan orang Islam sahaja,
tetapi mentadbir seluruh manusia dan alam ini. Sesuailah dengan firman Allah
swt di dalam surah al-A’raf ayat 158 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya
aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang
menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia;
Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan
RasulNya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya;
dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.”
RUJUKAN
Tafsir Pimpinan
Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Mushaf Malaysia Rasm
Uthmani.
Abdul Wahab Khallaf (2003), Siasah Syari’yyah Dalam Pemerintahan Islam,
Al Hidayah Publishers.
Dr. Abd. Karim Zaidan (2000), Islam dan Politik Kenegeraan,
Persatuan Ulama Malaysia.
Dr. Abd. Karim Zaidan, (2003), Hak Muslim dan Muslim Dalam Negara Islam,
Pustaka Salam.
Dr. Luqman Bin Hj Abdullah, Jabatan Fiqh
Dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kertas kerja
Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia,Kerangka Asas dalam Pembinaan Hukum Fiqh Masyarakat Bukan Islam Masa
Kini, 23-24 Disember 2009, Dewan Annex, SUK, Shah Alam anjuran Persatuan
Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor Dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor
dan Majlis Agama Islam Selangor.
H.Oemar Bakry (1984), Islam Menentang Sekularisme, Mutiara
Jakarta
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kewarganegaraan
(4 Februari 2016)
https://ms.wikipedia.org/wiki/Piagam_Madinah
(7 Februari 2016)
Ismail Raji al-Faruqi, 2008, Islam dan Kepercayaan. Institut
Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Kamus Dewan Edisi Keempat, cetakan 2010, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mardiana
Nordin & Hasnah Hussin (2004), Pengajian
Malaysia, Fajar Bakti.
Mahmood Zuhdi Abdul Majid (2010), Bagaimana Islam Memimpin Masyarakat Majmuk,
PTS
Islamika Sdn. Bhd.
Muhammad Al-Ghazali (1989), Al-Ghazali Menjawab 40 Soal Islam Abad 20,
Syarikat S.Abdul
Majed.
Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi,
(2012), Fiqh Kenegaraan : Siasah
Syariah Negara
Kontemporari, Pelima Media Sdn. Bhd
Saari Sungib (2011), Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia,
Kemilau Publika Sd. Bhd.
Syeikh Muhammad Al-Ghazali (2014), Muhammad Al –Ghazali Menjawab Soalan yang Paling
Penting, Al Hidayah House of
Publisher Sdn. Bhd.
Yusuf Al-Qaradhawi (2009), Fiqh Kenegaraan, Blue-T Publication
Sdn. Bhd.
Siapa weh yg buat ni. Universiti mana. Terbaik weh dia punye maklumat. Lengkap padat sempurna. Tahniah. Moga diberkati Tuhan dgn ilmu yg diberi
ReplyDelete