Oleh :
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
1.0 Pengenalan
Peradaban
Melayu telah bermula pada tahun 2,500 S.M dan 1,500 tahun selepas Masihi
apabila pelbagai perubahan dari segi kebudayaan, adat dan agama telah mengalami
transformasinya hingga ke hari ini. Arus kemodenan juga dapat dinikmati dan
dikecapi sehingga melahirkan suatu ketamadunan yang seiring dengan bangsa lain.
Perubahan tidak hanya berlaku jika ianya tidak diresapi dengan pelbagai adat
dan budaya luar sehinggakan menjadi satu budaya dan satu tradisi masyarakat
Melayu. Resapan ini termasuklah mempengaruhi sedikit sebanyak faktor agama,
budaya mahupun kepercayaan.
Sebelum agama Islam datang merubah
corak kehidupan masyarakat Melayu dengan lebih sempurna, kepercayaan animisme
merupakan menjadi satu pegangan dalam tamadun awal, bukan sahaja tamadun Melayu
malahan tamadun awal manusia seluruh dunia. Kehidupan manusia ketika itu,
saling berkaitan antara alam semesta melahirkan satu kepercayaan berkonsepkan
‘semangat’ atau pun roh yang terkandung di atas muka bumi ini. Segala fenomena
alam seperti hujan, angin, rimba, lautan semuanya perlu dihormati dan dibina
satu hubungan dengan bertujuan keselamatan dan memohon sesuatu apa yang
dihajati.
Menurut Mohd Taib Osman (1988),
kepercayaan masyarakat Melayu melalui beberapa fasa perubahan bermula dengan kepercayaan
animisme, Hindu dan Islam. Oleh itu kepercayaan masyarakat Melayu dibahagikan
kepada lima bentuk kepercayaan iaitu kepercayaan kepada Allah dan Rasul,
kepercayaan kepada ayat-ayat Al-Quran, kepercayaan kepada sihir, kepercayaan
kepada kuasa luar biasa, haiwan dan benda-benda yang dianggap keramat dan
kepercayaan kepada semangat, penunggu dan kuasa luar biasa seperti jin, syaitan
dan seangkatan dengannya. Kehadiran Islam dalam alam Melayu telah mencorakkan
identiti seorang Melayu seterusnya menyentuh adat serta budaya Melayu. Dalam
Perlembagaan Malaysia juga, Islam adalah agama yang dianuti oleh orang Melayu.
Walaubagaimanapun, unsur animisma juga mempengaruhi sedikit sebanyak adat
kehidupan seorang Melayu Islam baik dari segi pertuturan dan kepercayaannya.
Oleh
itu, topik kajian ini akan membincangkan objektif seperti berikut:
a)
Membincangkan definisi
kepercayaan animisme.
b)
Membincangkan
kepercayaan amalan animisme yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam.
c)
Membincangkan faktor
masyarakat Islam yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
d) Menganalisis kesan amalan kepercayaan animisme terhadap akidah dan
pemikiran masyarkat Islam.
2.0 Definisi Animisme
Menurut ahli
antropologi, mereka telah bersepakat bahawa definisi
animisme menurut etimologi berasal daripada ‘animaus’ atau ‘anima’
dalam bahasa Latin yang bermaksud jiwa, roh atau kehidupan. (Edward Burnett Tylor, 1871). Manakala menurut istilah pula bermaksud merujuk kepada kepercayaan manusia
purba atau primitif. (Graham Harvey, 2006). Ini adalah kerana, asas kepercayaan
manusia primitif adalah percaya kepada roh dan makhluk halus. Kesan daripada
kepercayaan ini, manusia seharusnya menghormati entiti tersebut agar semangat itu
tidak akan mengganggu manusia, malah membantu mereka dari semangat dan roh
jahat dan juga dalam kehidupan mereka. Menurut terminologi
pula, animisme adalah kepercayaan bahawa setiap sesuatu yang wujud di muka bumi
ini seperti batu, kayu, angin dan lain-lain mempunyai jiwa atau roh. (Kamus
Dewan, 2005). Oleh itu, golongan yang mempercayai animisme ini dikenali sebagai
“animis”. (Irving Hexham, 2002).
Dalam dunia animis, manusia dianggap
hampir setaraf dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan kuasa-kuasa alam semula jadi.
Oleh itu, menjadi satu tanggungjawab dan moral bagi animis untuk berinteraksi
dan menghormati unsur-unsur berkenaan. Alasannya, manusia dianggap sebagai
sebahagian daripada alam semula jadi, bukannya lebih tinggi atau berasingan
daripadanya. Dalam pada itu, roh dan semangat pada objek-objek itu mempunyai
kekuatan luar biasa. Roh ini ditakuti dan dihormati. Mereka percaya jika roh
ini marah, ia boleh membahayakan dan mendatangkan musibah kepada mereka.
Sebaliknya, jika roh itu senang dan gembira, maka ia boleh membawa kepada tuah
dan keberuntungan. (Al-Sāmūk, Sa‘dūn Maḥmūd, 2002).
Menurut Ahmad Jelani Halim (2008), animisme adalah
kepercayaan kepada serba roh, iaitu semua benda bernyawa atau tidak mempunyai
roh (semangat). Dinamisme pula merupakan kepercayaan kepada wujudnya kekuatan
atau di mana-mana sahaja. Akan tetapi para sarjana sering menyamakan sahaja
kedua-dua istilah itu sebagai animisme. Roh ini tidak boleh mati atau hancur
seperti jasad. Jika seseorang itu meninggal dunia, rohnya akan meninggalkan
jasad dan tinggal di tempat-tempat tertentu. Di samping mempercayai
semangat-semangat ini, animisme juga percaya tentang wujudnya makhluk halus,
iaitu makhluk yang wujud tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk
ini seperti orang bunian, mambang, jembalang, hantu, pontianak dan sebagainya. Ia bersifat bebas daripada manusia tetapi mencampuri dan mempengaruhi
urusan kehidupan manusia. Menurut Abu Yazid 2002, animisme merupakan suatu
bentuk kepercayaan. Ia bermaksud
mempercayai setiap benda mempunyai jiwa atau roh yang memiliki keperibadian
sendiri. Animisme berkait rapat dengan sikap manusia yang mempunyai naluri
ingin tahu tentang alam sekeliling.
Di dalam istilah bahasa Arab pula animisme disebut sebagai
(الروحیة
(atau (الإحیائیة). (Mu’jam al-Lughah, 2008). Dr ‘Abd al-Wahhāb al-Masīrī dalam
bukunya Mawsū’at al-Yahūd menyenaraikan istilah-istilah yang merujuk kepada
animisme seperti المبدأ(kesemua bahawa berkata
Beliau). أنیمیزم) dan) الحیویة) ,(حیویة المادة) ,الحیوي)
istilah tersebut merujuk kepada kepercayaan yang menganggap alam ini mempunyai
pelbagai roh yang tersimpan dalam sesuatu yang nyata atau ghaib dan mampu mempengaruhi
kehidupan manusia.
Edward
B. Tylor merupakan tokoh yang dianggap kali pertama mengemukakan pendapat
bahawa asal mula kepercayaan agama adalah animisme (kefahaman tentang jiwa atau
roh) sehingga menerbitkan satu teori yang digunapakai oleh para sarjana hingga
akhir kini. Menurut Tylor dalam bukunya Primitive Culture (1874),
manusia sederhana telah menyedari adanya jiwa yang bersemayam dalam tubuh yang
menyebabkan manusia itu hidup, dan matinya manusia disebabkan oleh jiwa yang
lepas. (Tedi Sutardi, 2007). Animisme adalah kepercayaan manusia tentang jiwa
yang meliputi hal-hal berikut:
- Di dunia
ini tidak akan ada benda yang tidak berjiwa, semuanya hidup kerana ada
jiwa (roh).
- Hal yang
terpenting adalah jiwa dan bukan benda kerana tanpa jiwa, semua benda akan
mati.
- Makhluk
yang tidak berwujud, seperti jin, hantu, dan sebagainya itu ada dan
terdapat dimana-mana.
- Matahari,
bulan, dan bintang-bintang bergerak dan berchaya kerana ada jiwa.
Menurut
Tylor, roh-roh halus ada di mana-mana, bahkan dapat memasuki tubuh manusia yang
lemah. Oleh kerana kemampuan manusia yang terbatas serta rasa rendah diri dan
takut, maka manusia menghormati dan meminta perlindungan dari roh-roh halus
tersebut. Hubungan antara manusia dan roh halus ini dilakukan dengan tatacara
keagamaan, seperti pemberian jamuan, pembacaan mentera dan doa-doa, membakar
kemenyan, melakukan tarian, dan nyanyian suci dan sebagainya.
Menurut
pendapat Ibnu Khaldun, kehidupan manusia sering dipengaruhi oleh keadaan
persekitarannya seperti udara, iklim dan sebagainya. Mereka mewujudkan satu
kepercayaan yang kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Dengan ini
ia telah melahirkan hubungan yang kuat antara manusia dengan alam sekitarnya.
Kepercayaan tentang adanya roh dan semangat pada setiap benda di sekeliling mereka
telah diwujudkan. Mereka yang menganut mempercayai bahawa roh semua makhluk
sesudah mati akan terus hidup. Roh ini akan hidup pada tempat-tempat yang
jarang dikunjungi oleh manusia oleh manusia misalnya hutan, gunung, pokok besar
dan sebagainya. Roh-roh ini pula boleh dibahagikan kepada dua jenis.
Sebahagiannya menjadi roh baik manakala sebahagian lagi menjadi roh jahat.
(Abdul Aziz, 2008).
Roh baik
atau ‘good magic’ berasal dari roh orang yang sudah mati yang semasa
hayatnya adalah orang yang selalu berbuat kebaikan. Roh sebegini yang
seringkali dipuja untuk mendapatkan sesuatu benda. Mereka percaya sekiranya
berlaku jenayah atau kejahatan di sesuatu tempat, roh baik akan berasa marah
dan memberi hukuman berupa bencana alam pada sesiapa yang terbabit. Oleh itu
mereka sangat takut melakukan kejahatan disebabkan hukumannya yang berat.
Roh Jahat
atau ‘black magic’ berasal dari roh orang yang sudah mati yang semasa
hidupnya adalah orang yang selalu berbuat kejahatan. Mereka sangat menakuti roh
sebegini. Mereka akan mengadakan upacara-upacara tertentu agar roh ini tidak
mengganggu kehidupan mereka.
Kepercayaan
sebegini akan membawa kepada amalan beragama seperti pemujaan dan perhambaan
diri kepada benda yang dipuja. Menurut R. O. Windstedt, penduduk di Nusantara
juga kuat dalam mempercayai semangat. Semangat-semangat ini dipercayai wujud
pada benda-benda tertentu di sekeliling mereka seperti anggota badan, nama
seseorang, tumbuhan dan sebagainya. Seperti kebiasaannya untuk mengelak
daripada semangat itu menjadi marah, mereka akan mengadakan upacara-upacara
tertentu. (Abdul Aziz, 2008).
Menurut ahli-ahli antropologi, animisme mempunyai
bahagian-bahagian yang tertentu di dalam melahirkan konsep atau sistem
kepercayaannya yang tersendiri. Bahagian-bahagian animisme terbahagi kepada Ancestor
Worship, Spiritualisme, Shamanism, Nature Worship, Dinamisme dan Totemism.
Ancestor Worship merupkan satu penyembahan roh orang mati,
sama ada roh nenek moyang atau orang lain. Roh orang mati dianggap masih hidup
dan mampu mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada orang yang masih hidup. Spiritualisme/
Spiritisme pula bermaksud aktiviti interaksi antara roh orang mati dan orang
hidup. Shamanism pula diertikan sebagai suatu aktiviti penghubung dan pengendalinya
merupakan orang-orang yang pakar tentang alam roh. Jika keadaan sekarang ia juga
digelar sebagai dukun, bomoh dan pawang. (Christina Pratt, 2007).
Nature Worship pula adalah suatu amalan penyembahan objek
di alam semesta seperti api, matahari, bintang, pepohon, dan sebagainya. Ia
juga meliputi penyembahan fenomena alam seperti guruh, kilat atau ribut.
Peringkat ini adalah batu asas kepada penyembahan banyak tuhan atau disebut
politeisme. Politeisme adalah kepercayaan kepada lebih daripada satu tuhan.
Jiwa alam tersebut dipersonifikasikan dan dianggap sebagai makhluk
berkeperibadian yang mempunyai kehendak dan fikiran. Makhluk supernatural atau
roh di sebalik gerak alam tersebut digelar sebagai dewa dewi alam. (Dra.
Noorkasiani, 2009).
Dinamisme, PraAnimisme, Fetishisme Atau Animatisme merupakan
aktiviti penyembahan benda dan objek tertentu yang dianggap istimewa dan suci.
Apabila objek itu dipakai atau disimpan ia boleh mendatangkan keuntungan, tuah
atau terhindar daripada bahaya dan malapetaka. (Mariasusai Dhavamony, 1999).
Manakala Animal Worship merupakan penyembahan binatang tertentu. Binatang ini
diberi penghormatan kerana kesucian, kebolehan mendatangkan keselamatan, kebaikan
dan manfaat kepada mereka. Akhir sekali, Totemism adalah merupakan kepercayaan
suku kaum yang memuja binatang tertentu kerana menganggapnya sebagai lambang
suku atau dianggap mempunyai hubungan pertalian darah dengan mereka. (Bron
Taylor, 2008).
3.0 Kepercayaan
dan amalan animisme yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam
Kita
sedia maklum, awal kepercayaan masyarakat Melayu adalah fahaman animisma iaitu
mengambil tempat sistem kepercayaan sebelum Hindu. Fahaman ini berbentuk
kepercayaan kepada semangat, pemujaan roh nenek moyang dan mahluk alam gaib. Animisma
ini adalah satu kepercayaan yang amat komplek dan subjektif. Kepercayaan ini dapat
mengatur tingkahlaku manusia terhadap alam sekeliling, kerana mereka percaya
bahawa setiap fenomena alam mengandungi satu kekuatan ghaib atau berpenunggu. Pada
fasa ini, budaya fikir dan teras kosmologi masyarakat Melayu ketika ini lebih
cenderung mengekalkan keseimbangan antara kehendak atau syarat semanagt dan
dewa dewi dengan keperluan individu dan masyarakat. (Afifah Abu Yazid, 2002). Pengaruh
kepercayaan animisma ini juga mempengaruhi perubatan tradisional yang
berteraskan kepercayaan animisma. Perlaksanaannya dilakukan dengan memuji dan
memuja roh dengan jampi serapah serta mentera untuk mengubati penyakit yang
dihinggapi oleh manusia. (Asal Usul Orang Melayu, 2013). Akhirnya kepercayaan
ini amat tebal dan beransur-ansur hilang setelah kedatangan Islam.
Kepercayaan animisme
yang telah telah diamalkan oleh masyarakat Melayu pada awalnya telah melahirkan
konsep pantang larang, adat istiadat, undang-undang, kebudayaan dan sebagainya.
Bagi memuja semangat ini lahirlah tarian, nyanyian, drama, muzik, unsur mainan,
mentera, adat menanam, adat kematian dan sebagainya yang ada hubungan dengan
kepercayaan itu. Perkaitan ini melahirkan suatu hiburan dan permainan yang pada
asalnya merupakan upacara yang berkaitan dengan kuasa ghaib. Contoh yang masih
diamalkan adalah Main Puteri di negeri Kelantan, Main Dewa, memutus ubat dan
sebagainya. (Muhammad Syed, 1990).
Apabila berkaitan dengan
unsur mainan dan tarian tadi, beberapa upacara jampi serapah perlu di amalkan
sebagai syarat permulaan. Ia bertujuan untuk melindungi permainan daripada
segala bencana dan menghalau jin dan hantu daripada menggangu persembahan. Persembahan
ini perlu diikuti segala pantang larang kerana setiap persembahan mempunyai
perkaitan dengan makhluk halus. (Mahdini, 2003).
Apabila kepercayaan tersebut
telah diterima oleh pemikiran manusia, maka mereka perlu mempunyai seorang
individu atau golongan yang akan memainkan peranan hubungkaitnya dengan
pelbagai upacara pemujaan. Golongan seperti nenek kebayan, dukun, tabib dan
pawing adalah bertanggungjawab bgai memastikan diri seseorang itu dipulihkan
dari disampuk oleh makhluk halus.
Animisma juga mempercayai
setiap orang yang telah meninggal dunia juga boleh memainkan peranan dalam
memberikan perlindungan atau pun memberikan sesuatu pertolongan. Perkara ini
dikira apabila hayat seseorang itu memiliki sesuatu keistimewaan atau pun kuasa
yang hebat. Berdasarkan perkara tersebut, lahirlah masyarakat yang memuja roh
si mati untuk hadir memberi pertolongan apabila diperlukan. Kepercayaan orang
Melayu yang telah disenaraikan oleh Hasbullah (2010), terdapat enam benda atau
tempat yang dijadikan keramat atau upacara memuja. Antaranya adalah Objek alam
seperti batu, puncak gunung, pulau dan tanjung, binatang seperti harimau, dan
buaya putih, kubur ahli sihir atau pawang, kubur orang yang membuka pemukiman
baru, pemakaman ulama Islam dan akhir sekali
ulama yang masih hidup.
Masyarakat Melayu juga percaya akan wujudnya orang bunian
yang dianggap sebagai masyarakat yang sama seperti manusia tetap tetapi hidup
dalam dimensi lain. Orang bunian dikatakan turut mempunyai kuasa-kuasa tertentu
dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang dapat berhubung dengan masyarakat
orang bunian. Masyarakat Melayu juga percaya kepada pawang atau bomoh yang
selalunya menggunakan mantera atau jampi serapah. Kepercayaan ini biasanya
diamalkan di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman. (Kepelbagaian Sosio
Budaya). Ia lebih kepada mengharapkan kepada memohon rezeki yang banyak dari hasil
tanaman padi dan juga keselamatan di laut.
Bagi masyarakat di Sarawak, kepercayaan animisme juga tidak
jauh beza di kalangan masyarakat Melayu. Orang Melanau mempercayai setiap
penyakit seperti sakit perut, kejang, sakit kepada dan demam, bengkak kaki dan
lenguh sendi adalah disebabkan oleh jenis-jenis hantu seperti hantu langit,
hantu gurun dan sebagainya. Manakala masyarakat di Sabah, orang Ilanun pula
mempercayai penyakit disebabkan oleh ancaman syaitan dan boleh memiliki
pelbagai ilmu seperti kebal dan ghaib. Oleh itu ia berkaitan dengan jimbaran
(orang belaan) dan perlu menjalankan pemujaan dan menjamu hantu. Individu
yang menjadi perantaraan antara manusia dan makhluk halus dikenali sebagai
bomoh “Babalion”. (Weblog Cikgu Jumali).
Masyarakat Melayu Islam
memang tidak dapat dilarikan dari tertumpu kepada amalan pantang larang. Ia
diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Pantang larang bertujuan bagi menjaga keselamatan, tingkah laku, kebaikan,
kesihatan, nilai-nilai murni dan kesinambungan tradisi. Perkataan pantang
bererti tegahan daripada melakukan sesuatu perkara kerana dipercayai akan
membawa kesan buruk. Antara pantang larang yang masih diamalkan adalah seperti
pantang larang semasa hamil.
Sehingga
sekarang, pantang larang semasa hamil masih lagi diamalkan dalam kalangan
masyarakat Melayu. Antaranya, wanita yang mengandung tidak boleh membunuh atau
memukul segala jenis binatang. Ini kerana, jika dibunuh dikhuatiri anak di
dalam kandungan akan mengikut tabiat
binatang tersebut. Larangan terebut bukan khusus untuk wanita sahaja,
malah larangan itu juga kepada bapa bayi tersebut. (Ahmad Redzuan, 2011).
Menurut Ahmad Redzuan lagi, ibu yang
sedang mengandung juga dilarang keluar bersiar-siar paa waktu senja di luar
rumah kerana ditakuti akan mengeluarkan darah yang terlalu banyak semasa
bersalin. Ibu mengandung juga dilarang sama sekali untuk makan sotong. Ini
kerana dikuatiri hantu akan mencekik ataupun menjerut bayi yang berada di dalam
kandungan ibu tersebut. Masyarakat Islam masa kini masih lagi mengamalkan
sihir. Orang Melayu yang sememangnya arif dalam penggunaan ilmu sihir. Skeat
Walter Willian (1984:xii) ada mengatakan bahawa:
The Malay race,
while far removed from savage condition has not as yet reached a very high
stage of civilisation, and still retain relatively large remnants of this
primitive order of ideas.
Amran
Kasimin, 1997, telah menyatakan amalan sihir kebanyakannya dilakukan untuk
menyakiti seseorang yang tidak disukai melalui santau akibat dengki atau dendam
sehingga menyebabkan kehidupan orang yang didendami menjadi tidak tenteram.
Definisi sihir secara umum merujuk kepada amalan jahat manusia yang dibantu
atau disokong oleh jin-jin, yang terdiri daripada iblis dan syaitan, yang
dilakukan secara tersembunyi dan rahsia, tidak mudah diketahui umum, yang boleh
melahirkan antijah diluar kebiasaan atau menarik adat yang boleh berlaku
berulang kali.
Masyarakat Islam masa kini
masih lagi memilih perubatan secara tradisional apabila ditimpa sesuatu
penyakit yang tidak dapat di pulihkan secara rawatan moden. Di dalam warisan
perubatan tradisional misalnya, penggunaan jampi dan mentera yang memuji serta
memuja semagat ‘roh’ bagi mengubati sesuatu penyakit merupakan salah satu bentuk
kepercayaan animisma. Pujian serta pujaan ini juga turut disertakan dengan
pelbagai bentuk tarian seperti tarian main puteri yang berasal dari negeri
Kelantan, tarian ulek mayang dari Terengganu dan juga tarian kuda
kepang/lumping yang berasal dari tanah Jawa yang kemudiannya juga
diamalkan di Johor.
Tarian permainan puteri (juga
dikenali sebagai main puteri) adalah salah satu bentuk upacara perubatan
diketuai oleh bomoh atau pawang serta didalangi dengan bacaan mentara dan
jampi bagi membangkitkan semangat pesakit. Penyakit mental seperti gila terkena
hantu, gila disebabkan buatan orang mahupun otak miring lazimnya diubati
melalui main puteri. Keadaan pesakit seperit hilang semangat, tekanan jiwa
dan kurang siuman adalah tanda-tanda awal. Dengan kata lain, main puteri adalah
alternatif psikoterapi tradisional bagi merawat penyakit berkaitan dengan
mental.
Main puteri tidak kurang
bezanya dengan ulek mayang, satu tarian upacara perubatan psikoterapi yang
berasal dan popular di negeri Terengganu satu masa dahulu. Tarian ulek mayang
dimainkan terutamanya oleh masyarakat nelayan bagi membangkitkan semangat
laut (spirits of the sea), bertujuan menyembuh penyakit mental sama
seperti tarian main puteri. Bomoh dan juga penari ulek mayang menyantun lagu
ulek mayang, memuja sang semangat laut, tujuh puteri untuk mengembalikan ‘roh’
dan semangat pesakit. Sehingga kini, tarian main puteri atau ulek mayang masih
lagi dimainkan walaupun tujuannya adalah untuk persembahan semata-mata. (Zulkifli
Salleh. 2015).
Dalam persoalan jodoh, masyarakat Islam masa kini masih lagi
berpegang dengan istilah lambat mendapat jodoh. Ini adalah kerana masyarakat
beranggapan seseorang itu tiada seri atau ada penyebab lain jodoh tidak jumpa.
Oleh itu pelbagai cara telah dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan ini.
Antaranya dengan mandi bunga. Mandi bunga bukanlah cara mandi biasa dan ia akan
melibatkan pelbagai bahan sampingan. Bahan yang sering digunakan untuk upacara mandi
bunga ialah daun, bunga dan limau dengan bilangan serta sidat tertentu mengikut
arahan bomoh. Ditambah pula dengan jampi serapah yang dibacakan. Gabungan
bahan-bahan tadi yang telah dijampi diyakini dapat membentuk suatu tenaga atau
semangat baru yang boleh menyingkirkan tenaga atau semangat jahat tertentu.
Upacara
ini turut dianggap satu usaha untuk membuang makhluk halus jahat yang membawa
sial di dalam badan pesakit. Ia kemudian digantikan dengan makhluk halus yang
baik di mana ia dapat membawa manfaat Justeru, bagi pengamal mandi bunga ini,
mereka meyakini ritual tersebut bukan sekadar mampu membuang sial, tetapi juga
dapat menarik tuah serta keuntungan. Limau menurut kepercayaan Hindu dapat
mengusir makhluk halus seperti jin dan syaitan. Aroma yang wangi turut diyakini
dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri
seseorang. Ketika upacara mandi bunga dijalankan, segala kesialan diyakini
dikeluarkan lalu memasuki sisa-sisa mandian berupa daun, limau dan buunga. Oleh
itu individu yang menjalani upacara ini dilarang membersihkan sendiri sisa-sia
mandian tersebut untuk mengelak kesialan hinggap semula. (Rosmawati Ahmad,
2013).
Khairul Ghazali, 2015
telah menyenaraikan, masih lagi masyarakat Islam di negara ini yang mengamalkan
animisma dalam kehidupan mereka seperti ada lagi segelintir yang mempercayai
tangkal dan azimat. Ini adalah kerana mereka percaya tangkal dan azimat ini
mampu mendatangkan kesan kepada pemakai. Selain itu juga ada lagi segelintir
masyarakat yang mempercayai tempat-tempat yang dianggap keramat dan dapat
menyempurnakan segala hajat mereka. Akhir sekali ada juga segelintir masyarakat
yang mempercayai suara binatang yang menandakan sesuatu peristiwa yang buruk
akan berlaku.
4.0 Faktor masyarakat Islam yang masih mengamalkan kepercayaan Animisme.
Bagi masyarakat Islam khususnya dinegara ini, kepercayaan sebegini wujud secara turun-temurun. Walaupun Islam telah berkembang dengan pesatnya di tanah air tetapi masih terdapat sebilangan kecil yang enggan membuang fahaman sebegini. Daripada rujukan yang boleh dipercayai didapati kepercayaan ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:
4.1 Faktor Adat
Dari sudut etimologi,
perkataan adat berasal daripada bahasa Arab Ial-’adah. Ia bermaksud perbuatan
yang dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan yang tetap dan
diamalkan oleh orang ramai.
Menurut
Ahmad Zaki Engku Alwi 2007, dalam konteks masyarakat Melayu di Malaysia,
kebiasaan yang diamalkan oleh orang Melayu akhirnya berkembang menjadi adat. Di
samping kebiasaan, proses mencipta adat dalam masyarakat Melayu berkaitan pula
dengan tanggapan dan pemikiran orang Melayu. Daripada tanggapan dan pemikiran
itu, lahir adat yang dikaitkan pula dengan kepercayaan si sebalik peraturan
adat itu. Peraturan adat ini menggambarkan ajaran dan amalan yang ditanggapi
oleh angota-angota masyarakat sederhana berkenaan manusia dan dunia.
Dalam
masyarakat Melayu, adat mempunyai pelbagai makna. Lazimnya, pengkaji
mentafrifkan adat kepada empat aspek iaitu:
- Adat yang
sebenar-benarnya adalah hukum tabii yang dicipta oleh Allah seperti adat
ayam berkokok, adat api membakar, adat air membasah dan sebagainya
- Adat yang
diadatkan pula lebih dikenali sebagai hukum adat. Ia adalah peraturan
hidup yang diwujudkan oleh nenek moyang dahulu bagi memastikan wujudnya
keharmonian dalam konteks hidup bermasyarakat. Disamping menghapuskan
konflik antara ahli-ahli masyarakat yang berbeza status, tujuan hukum adat
juga adalah membentuk perilaku atau pun peradaban yang sama, Jelasnya,
hukum adat adalah pemangkin norma dan nilai masyarakat.
- Adat
istiadat adalah ritual-ritual atau upacara yang sering dilakukan bagi
mengiringi majlis yang dianggap rasmi. Kehidupan orang Melayu penuh dengan
adat isitadat. Setiap lingkaran hidup mereka diwarnai oleh adat istiadat.
Contohnya adat istiadat menjejak kaki di tanah, potong jambul, berkhatan,
berkahwin dan sebagainya.
- Adat yang
teradat adalah peraturan-peraturan yang diputuskan oleh pemimpi-pemimpin
di dalam sesebuah negeri. Ia dilakukan melalui mesyuarat dan muafakat bagi
melaksanakan hukum adat yang dibuat oleh nenek moyang. Contohnya, larangan
bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sebelum berkahwin.
Daripada
empat kategori itu, terdapat sejenis adat iaitu adat istiadat yang
kebanyakannya diamalkan dalam masyarakat Islam di Malaysia yang dapat
menjejaskan akidah mereka iaitu:
- Adat tolak
bala semasa mendidikan rumah.
- Adat
memuja (main atau bersemah) pantai ataupun kuala.
- Berubat
orang sakit dengan cara memuja hantu dan membuang ancak.
- Percaya
kepada semangat-semangat seperti semangat padi.
- Mempercayai
berkat nasi kunyit.
- Mempercayai
penunggu atau hantu dan meminta tolong kepadanya.
- Adat
melenggang perut dan beberapa acara dalam adat mencukur kepada bayi.
- Memukul
gendang dan sebagainya pada masa gerhana berlaku.
- Mempercayai
sial biawak ataupun burung hantu apabila rumah diamsukinya.
- Menjadikan
kubur-kubur orang yang dianggap keramat atau wali sebagai tempat memohon
hajat ataupun membayar niat.
4.2 Faktor Pengaruh Hindu
Pengaruh Hindu yang datang terkemudian menyebabkan kepercayaan sebegini semakin menjadi-jadi terhadap perkara yang berunsur tahyul dan khurafat seperti percaya kepada kuasa-kuasa dewa. Melalui kepercayaan ini juga wujudlah pertapaan dikawasan-kawasan tertentu di mana ia dikatakan berfungsi sebagai penghubung antaranya dengan dewa-dewa. Selain itu pengaruh Hindu juga turut menyebabkan wujudnya upacara-upacara seperti melenggang perut, berjambul dan sebagainya.
Sebagai contoh, adat berinai masih
lagi menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia. Adat ini merupakan adat yang
berasal dari tamadun Hindu. Ia dilaksanakan 3 peringkat iaitu berinai curi,
berinai kecil dan berinai besar. Apabila menjelang perkahwinan, pengantin
perempuan akan dipakaikan inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah
tapak tangan. Manakala pengantin lelaki pula hanya memakai inai pada jari
kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja. Corak lukisan
inai sudah semestinya dipengaruhi tema dari hindu.
4.3 Kurang pengetahuan agama
Kurang
pengetahuan tentang ilmu agama merupakan penyebab utama mengapa amalan mistik
masih diamalkan. Dalam agama Islam, amalan mistik sangat ditegah kerana
bertentangan dengan akidah. Kekurangan ilmu agama menyebabkan seseorang itu
mudah terpengaruh untuk mempelajari dan mengamal ilmu mistik yang secara terang
ditegah oleh agama dan amalan nenek moyang yang lari dari landasan syariah.
Terdapat segelintir individu mengamalkan ilmu mistik untuk kepentingan
peribadi. Amalan tersebut selalunya digunakan untuk kepentingan duniawi
walaupun individu tersebut terpaksa melakukan perkara yang menggadaikan akidah.
(Noor Azrina Tuah, 2013). Iman mereka akan mudah dipesongkan dengan hasutan
syaitan.
Selain
itu, menurut Jahid Sidek, 2004, wujudnya langkah-langkah yang dibuat oleh
sesetengah pawang dalam mencorakkan dan mewarnakan kaedah perbomohan mereka
agar kelihatan Islam pada zahirnya. Misalnya doa-doa atau ayat al-Quran
dicampurkan dengan jampi atau serapah. Dua kalimah syahadah dan nama Allah
digunakan bagi menggantikan betara guru dan sebagainya. Kadang-kadang pantang
larangnya jua disesuaikan dengan kehendak hukum Islam. Misalnya, hendaklah
selalu bersedekah, tidak boleh minum arak dan dilarang berzina. Ucapan-ucapan
pawang itu sendiri pun lazimnya disesuaikan degan kehendak atau konsep akidah
Islam. Misalnya, dikatakan bahawa usaha pengubatannya itu adalah semata-mata
ikhtiar dan berkuasa menyembuhkan penyakit itu hanyalah Allah S.W.T.
5.0 Kesan amalan kepercayaan animisme terhadap akidah dan pemikiran
masyarakat Islam
Menurut
Abdullah Yassin 2012, seseorang yang terpesong akidahnya, keadaannya seperti
orang buta. Dia tidak tahu tujuan dia dijadikan Dia tidak mengetahui hikmah
atau rahsia di sebalik kewujudannya di bumi ini. Allah S.W.T menyamakan mereka ini seperti binatang.
“Dan orang yang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan
seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka”.
Surah Muhammad:12)
Lantaran
daripada akidah yang tergelincir, maka ia akan memberi kesan kepada kerosakan
segala amalannya. Segala kemaksiatan dan kemungkaran akan terbongkar. Ketika
itu Allah S.W.T akan menurunkan seksaan-Nya.
5.1 Terjerumus
kepada perkara Syirik
Syirik
merupakan suatu perbuatan atau sebutan yang meyakini ada sesuatu kuasa yang
wujud selain dari kekuasaan Allah S.W.T. Syirik merupakan perkara yang terkutuk
dan keji yang paling dibenci oleh Allah S.W.T. Perbuatan syirik ini akan
menimbulkan kemurkaan Allah seterusnya ditempatkan kekal di dalam neraka.
Menurut Muhammad Abd Rahman 1994, perbuatan syirik ini akan mengakibatkan
kehinaan yang paling tinggi kepada manusia, akan menyuburkan lagi perkara
khurafat, merupakan satu perkara kezaliman yang amat besar, menimbulkan rasa
takut selain dari Allah, menyebabkan keburukan dalam kehidupan manusia dan
mengakibatkan seseorang masuk neraka. Firman Allah S.W.T
لَقَدۡ
كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ مَرۡيَمَۖ
وَقَالَ ٱلۡمَسِيحُ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ رَبِّي
وَرَبَّكُمۡۖ إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ
وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ ٧٢
Maksudnya
: Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah
ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani
Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah
seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.
5.2 Bahaya Saka
kepada waris keluarga
Amalan
animisme sering dihubungkaitkan dengan memanggil atau memuja makhluk-makhluk
halus yang terdiri dari kalangan jin dan syaitan. Akhirnya makhluk ini akan
berdamping dengan tuannya dan seterusnya akan terus diwarisi melalui penurunan
dari satu generasi kepada generasi yang lain. Cara penurunan makhluk saka ini
pelbagai cara. Ada yang yang boleh diturunkan secara terang dengan menyatakan
waris yang layak menerima saka tersebut. Satu lagi boleh diturunkan secara
tidak langsung dengan penerimaan barang-barang tertentu seperti keris, lembing,
parang dan sebagainya. Kesan buruk ini dapat dilihat dengan makhluk saka ini
boleh menyakiti pewarisnya dengan berbagai masalah dengan menyesatkan iman,
memporak perandakan rumahtangga, bertindak dengan cara tidak waras dan
hinggakan menyukarkan kematian apabila pewarisnya nazak. Ada juga pendapat yang
menyatakan jika makhluk saka tersebut tidak dapat diwariskan akan menyebabkan
pemilik saka akan menghadapi kesukaran untuk mati dan saka tersebut akan mengamuk
dan mengganggu ahli keluarga atau masyarakat setempat. (Rahimah A. Hamid,
2015).
5.3 Jauh dari
beriman kepada Qadak dan Qadar
Menurut
Imam Abu Hasan al-Asyaari dan majoriti ahli sunnah, qadak bererti kehendak
Allah pada azali (sedia kala) yang bergantung pada sesuatu dan menepati dengan
apa yang diadakan. Qadar pula bermaksud sesuatu menurut yang ditentukan oleh
qadaknya dalam keadaan, sifat, masa, kedudukan dan sebab. (Abdul Hadi Awang,
2008). Oleh itu, dengan beriman kepada qadak dan qadar menjadikan iman
seseorang itu bertambah kuat dan meyakini bahawa setiap sesuatu yang berlaku
mempunyai hikmah tertentu. Berbanding jika kepercayaan ini tidak diamalkan,
seseorang itu tentu akan mempercayai setiap perkara yang berlaku mempunyai
nasib malang atau “sial”. Maka sudah tentu mereka akan melakukan perkara di
luar landasan syariah.
5.4 Menyebabkan
masyarakat malas berusaha, mudah berputus asa serta tidak bertawakal kepada
Allah.
Menurut
H.M Tuah Iskandar 2010, masyarakat yang malas untuk berusaha, mudah berputus
asa serta tidak bertawakal kepada Allah merupakan perbuatan yang akan
menyebabkan iman menjadi rapuh. Hal demikian adalah disebabkan kebergantungan
seseorang kepada makhluk yang tidak sepatutnya mereka harapkan. Sebagai contoh individu yang mempercayai
kepada sesuatu kepercayaan terhadap benda mahu pun amalan boleh menyebabkan
seseorang menjadi kaya. Maka apabila perkara ini tidak dapat apa yang dihajati,
seseorang itu akan berputus asa dan seterusnya melakukan sesuatu perkara yang
lebih buruk atau pun di luar jangkaan.
Apabila kebergantungan ini menjadi satu adat kebiasaannya,
seterusnya ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud dan
mudah berputus asa. Pengamal animisme lama kelamaan akan menjadi tidak bebas
untuk berfikir.
6.0 Kesimpulan
Secara
kesimpulannya, seseorang muslim seharusnya benar-benar beriman kepada Allah
serta percaya kepada qada dan qadarNya. “Mereka tidak seharusnya mempercayai
bahawa sesuatu benda itu (zat atau sifat) boleh mendatangkan kebaikan atau
keburukan. Kepercayaan yang boleh menafikan kesempurnaan tauhid seperti itu
adalah warian jahiliah yang sudah dihapuskan oleh Islam. (H.M Tuah Iskandar,
2010).
Islam mengambil satu persepsi yang tegas dalam hal ini. Ia
secara tegas menyatakan bahawa animisme adalah satu bentuk syirik, dongeng,
tahayul dan khurafat. Teori-teori tentang roh, semangat dan makhluk
supernatural yang dikemukakan oleh ahli antropologi barat saling bercanggah.
Hipotesis mereka melalui hasil observasi kepada masyarakat peribumi pula tidak
seragam. Justeru itu, Islam mengemukakan beberapa metode khusus bagi membendung
umat Islam daripada terjebak atau terpengaruh dengan unsur animisme.
1. Memohon doa daripada selain Allah seperti roh orang
mati, jin, semangat alam seumpamanya adalah penyekutuan kepada Allah SWT.
2. Sikap ekstrem dalam mengagungkan manusia seperti nenek
moyang, ketua suku atau tokoh agama sama ada ketika mereka masih hidup atau
telah meninggal dunia sangat ditegah.
3. Tiada kesaktian dan keramat pada tangkal dan azimat. Roh
orang mati tidak mendiami objek-objek tertentu. Hakikatnya, tangkal, guna-guna,
azimat dan seumpamanya tidak memberi sebarang manfaat kepada penggunanya.
Kadangkala ia mengandungi jin dan syaitan yang digelar sebagai khadam.
4. Individu-individu yang terlibat dalam shamanism seperti
ahli sihir, tukang ramal, tukang tilik, pawang, bomoh, tok batin dan sebagainya
adalah agen yang berinteraksi secara langsung dengan jin dan syaitan.
5. Islam membantah sistem peraturan sosial berasaskan
pantang larang, kepercayaan kepada sial, ketulahan dan tabu. Sistem ini tidak
logik melainkan hanya untuk mendidik manusia dengan cara menakutnakutkan
mereka. (Mohd Khairulnazrin, 2016).
7.0 Rujukan
Al-Quran
Ahmad Jelani Halim. 2008. Sejarah dan Tamadun
bangsa Melayu. Kuala Lumpur:
Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Al-Sāmūk, Sa‘dūn
Maḥmūd. (2002). Mawsū‘at al-Adyān wa al-Mu‘taqadāt alQadīmah
Jordan: Dār al-Manāhij.
Asal Usul Orang Melayu. (2013). Animisma
Diantara Kepercayaan Orang Melayu.
Dalam https://asalusulorangmelayu.wordpress.com/2013/10/22/animisma-
diantara-kepercayaan-orang-melayu/.
Diakses pada 21 Oktober 2017
Afifah Abu Yazid, (2002). Pengajian Tamadun Asia
Edisi Ke-2.Pahang: PTS Publication
&
Distributors Sdn Bhd
Abdul Aziz. 2008. Kepercayaan masyarakat
Nusantara. Dalam
http://ctu551.blogspot.my/2008/04/kepercayaan-masyarakat-nusantara.html.
Diakses pada 5
November 2017.
Ahmad Redzuan. (2011). Metodologi Dakwah Di
Malaysia. Kuala Lumpur: OUM.
Amran Kasimin. (1997). Amalan Sihir Masyarakat Melayu. Satu Analisis.
Kuala
Lumpur: Percetakan
Watan Sdn Bhd.
Abdullah Yassin. (2012). Perangi Syirik. Shah
Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Ahmad Zaki Engku Alwi. (2007). Ajaran Sesat:
Mengenali Jalan Yang Terpesong.
Selangor:
PTS Islamika.
Bron Taylor. (2008). Encyclopedia of Religion
and Nature. New York: A&C Black.
Christina
Pratt. (2007). An Encyclopedia of Shamanism. New York: The Rosen
Publishing Group.
Dra.
Noorkasiani et al. (2009). Sosiologi Keperawatan. Jakarta: Penerbit Buku
Kedoktoran EGC.
Edward
Burnett Tylor. (1871). Primitive Culture Researches Into Development of
Mythology, Philosophy, Religion, Art
and Custom. London: John Murrey.
Graham
Harvey. (2006). Animism: Respecting the Living World. New York: Columbia
University Press.
Hasbullah. (2010). Islam dan Tamadun Melayu.
Pekanbaru : LPM Fak Ushuludin UIN
SUSKA & YPR
H.M
Tuah Iskandar. (2010). Buat Jangan Tak Buat. Shah Alam: Alaf 21
Irving Hexham.
(2002). Pocket Dictionary of New Religious Movements. Madison: Inter
Varsity Press.
Jahid Sidek. 2004. Berpawang dan bersahabat dengan jin daripada
perspektif Islam.
Kuala
Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Kamus
Dewan, ed. ke-4 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005), 62, entri
“animisme.” lihat juga Kamus Teologi
(Yogyakarta: Penerbit Kanisius, cet-9,
2006), 27, entri “animisme.”
Khairul Ghazali. 2015. 30 Wasiat Imam Syafi’i.
Selangor:PTS Millenia Sdn Bhd.
Mu‘jam
al-Lughah al-‘Arabiah al-Mu‘āṣarah ed. (2008). Aḥmad Mukhtār ‘Abd al- Ḥamīd
‘Umar (t.t: ‘Ālam al-Kutub,).
Mariasusai
Dhavamony. (1999). Phenomenology of Religion:Encyclopedia of World
Religions. Amerika Syarikat:
Merriam-Webster.
Muhammad, Syed.(1990).
Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bandung : Mizan
Mahdini.(2003). Islam dan Kebudayaan
Melayu. Pekanbaru : Daulat Riau.
Muhammad Abdurrahman Al Khumayyis. (1994).
Syirik dan Sebabnya. Indonesia: Gema Insani Press
Mohd
Taib Osman. (1988). Kebudayaan Melayu dalam beberapa persoalan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Noor Azrina Tuah. 2013. Sosiologi Islam. Dalam
https://www.slideshare.net/noorazrinatuah/sosiologi-islam-ssl-3023.
Diakses pada
5 November 2017
Rahimah A. Hamid. (2015). Dari Lisan ke Aksara
dan Media. Pulau Pinang: Universiti
Sains Malaysia.
Tedi Sutardi. (2007). Antropologi:Mengungkap Keragaman Budaya untuk
kelas XII
Sekolah
Menengah Atas/Madrasah Aliyah Program Bahasa. Bandung: PT Setia
Purna Inves).
Weblog Cikgu Jumali. 2008. Kepercayaan masyarakat Melayu. Dalam
https://fastnote.wordpress.com/kepercayaan-masyarakat-melayu/.
Diakses pada 5
November 2017.
Wikipedia. https://id.wikipedia.org/wiki/Animisme21/10/2017
Zulkifli Salleh. 2015. Animisma dalam alam
Melayu. Dalam
http://zulkiflisalleh.com/blog/2016/09/05/animisma-dalam-alam-melayu/?i=2.
Diakses pada 5 November 2017.
(ISSN
1823-7126 / e-ISSN 0127-8002 BIL 9, ISU II: 2016 149 KEPERCAYAAN ANIMISME
MENURUT PERSPEKTIF SUNNAH NABAWI DAN AHLI ANTROPOLOGI BARAT: SATU KAJIAN AWAL
Mohd Khairulnazrin bin Mohd Nasir Muhammad Syafee Salihin Hasan Ishak bin Haji
Suliaman)
Ok
ReplyDelete