Oleh:
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
Kamarulnizam Sani
Sungai Pinang, Klang
1. Pengenalan
Ilmu pengajian Tasawuf adalah salah satu dari
cabang pengajian Islam yang mempunyai falsafah-falsafah yang abstrak, mendalam
dan berhikmah. Qadhi Syaikhul Islam Zakaria Al-Anshari rahi berkata: “Tasawuf
ilmu yang menyucikan hati dan akhlak untuk kebahagiaan yang abadi. (Abdul Qadir
Isa 2008). Konsep ilmu Tasawuf perlu di fahami secara teori bagaimana asas-asas
dan isi kandungan pengajaran dan ilmunya bermatlamatkan kepada pembersihan
hati, melahirkan akhlak yang terpuji dan seterusnya menuju kepada “taqarrub” seseorang hamba kepada Sang
Pencipta-Nya. Sudah tentu ilmu ini asasnya bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.
Menjadikan Rasulullah S.A.W “uswatun
hasanah” yang merangkumi aspek kehidupan yang holistik. Peringkat demi
peringkat dan maqam demi maqam perlu ditempuhi oleh setiap “akhawan” di dalam dunia Tasawuf ini.
Oleh itu, objektif tugasan ini akan membincangkan konsep Tasawuf dengan lebih mendalam, menurut pendapat ulamak yang terdahulu seperti Imam Al-Ghazali dan juga pendapat ulamak kontemporari seperti Hamka. Tugasan ini juga akan membincangkan peringkat pengajian Tasawuf yang dipelajari sehingga membentuk akhlak yang terpuji. Sejarah perkembangan ilmu Tasawuf juga dikaji bermula sejak zaman yang paling baik iaitu zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke zaman tabi’ tabi’in.
Tugasan ini juga menyentuh tentang bentuk-bentuk
serta faktor-faktor yang menyebabkan penyelewengan berlaku didalam pengamalan
ilmu Tasawuf. Contoh-contoh amalan dan juga kumpulan Tarekat yang telah
difatwakan sesat oleh Jabatan Agama setiap negeri juga akan dinyatakan.
Seterusnya, beberapa kaedah dan langkah-langkah untuk membendung dan mengawal
penyelewengan kumpulan Tarekat oleh
pihak berkuasa Jabatan Agama Islam juga akan dibincangkan bagi memelihara
khazanah ilmu Islam ini tidak disalahgunakan.
2. Konsep Ilmu Tasawuf
Pelbagai istilah dan makna yang digunakan didalam memberi makna perkataan tasawuf. Diantaranya berasal dari perkataan “Shuf” yang bermaksud bulu binatang, apabila kebiasaannya ahli tasawuf mengenakan pakaian yang diperbuat dari bulu binatang kerana bencinya mereka kepada pakaian yang indah-indah. Ada juga yang mendefinasikan ianya dari perkataan “Shuffah” disandarkan kepada sahabat nabi yang mengambil keputusan memencilkan diri ditempat yang terpencil berdekatan masjid Nabawi. Ada juga pendapat yang menyatakan Tasawuf berasal dari perkataan “Shufanah” mengambil nama kayu keras yang tumbuh di padang pasir tanah Arab. Lebih mendefinasikan Tasawuf ke hadapan, ada pendapat menyatakan asal perkataan “Shufi” bukan berasal dari perkataan Arab, tetapi dari perkataan Yunani lama yang telah diserapkan ke dalam bahasa Arab maka berubah menjadi sebutan Tasawuf. (Hamka 2007).
Istilah ini juga ditambah oleh Syeikh Abdul Qadir
Isa Rahimullah (2008), kalimah Tasawuf itu berasal dari perkataan “as-Sifah” yang bermaksud sifat yang
terpuji dan meninggalkan sifat yang keji. Manakala asal dari perkataan “as-Sofah” pula adalah bermaksud bersih
dan jernih sesuai dan sejajar dengan matlamat ahli sufi membersih hati dan jiwa
mereka. Disamping itu ada pendapat yang menyatakan asal perkataan “as-Sofwah” yang hanya memilih hanya yang
bersih dan suci dan akhirnya Tasawuf berasal dari perkataan “as-Sof” bermaksud ketika dahulu para
ahli sufi ini mempunyai barisan ke hadapan didalam amalan ketaatan mereka.
Manusia terawal di dalam menggunakan perkataan “sufi” semasa zaman pra Tasawuf adalah Abu Hasyim al-Kufi (w.150) manakala menurut ‘Abd al-Qasim ‘Abd al-Karim bin Hawazin bin ‘Abd al-Malik bin Talha bin Muhammad al-Qusyairi. (Ismail Mamat 2011).
Ilmu tasawuf begitu bernilai didalam mutiara
pengajian Islam dan tinggi martabatnya kerana objektif dan matlamat ilmu ini
berkaitan dengan pembersihan dan mensucikan hati bagi mencapai makrifah kepada
Allah S.W.T. Para pendukung ilmu ini yang digelar sebagai ahli sufi memegang
amanah dan tanggungjawab didalam memperkembangkan tasawuf dengan berpandukan
syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W seterusnya melahirkan ramai manusia
yang benar-benar bertaqwa kepada Allah. (Abdul Aziz Ismail 2001).
Kesimpulan dari itu, Tasawuf bukanlah setakat istilah sahaja, tetapi ianya dilihat didalam konteks yang lebih mendalam didalam memperbaiki akhlak, menyucikan hati dan sampai ke martabat yang tertentu. Tunjang ilmu ini adalah berkaitan pembersihan hati atau ‘Qalb’ dari pelbagai perkara yang membahayakan terutamanya dari kebendaan duniawi dan peraturan-peraturan diantara insan dan pencipta-Nya. Oleh itu Tasawuf sebagai memperkenalkan ilmu kerohanian bukan ilmu lahiriah.
2.1 Peringkat
Pengajian Ilmu Tasawuf.
Sebelum ini perbincangan definasi Tasawuf lebih
banyak mempertikaikan permasalahan dan memperbaiki hati dari kotoran serta
menghiasi dengan kemulian. Akhlak juga menjadi pokok utama didalam mentarbiah
individu agar menjadi insan yang dipandang tinggi. Ini kerana Tasawuf juga
adalah suatu ilmu yang menjurus ke arah pembersihan akhlak dan penyucian jiwa
serta memastikan keadaan zahir dan batin mencapai kebahagian yang abadi. (Abdul
Qadir Isa 2008).
Peringkat pengajian ilmu Tasawuf bagi pembentukan
akhlak adalah penting kerana Tasawuf itu juga dibina dari akhlak yang sempurna.
Pada peringkat pembentukan akhlak, ahli Tasawuf perlu menempuh perjalanan
maqam-maqam dan ahwal bagi menyucikan (tazkiyah) hati. Hal ini diperjelaskan
dengan amalan yang berterusan (istiqamah) maka kaum sufi itu akan beralih
kepada peringkat perjalanan Tasawuf terhadap yang lebih tinggi. Para ulama sufi
telah berpendapat al-Maqamat ditempuhi dengan usaha, sementara ahwal diperoleh
dengan kurnia. (al-maqāmat makāsib wal
al-ahwāl mawāhib). (Yusri Abd. Karim 1965).
Akhlak terpuji yang wajib diamalkan oleh setiap
orang yang beriman dinamakan sifat Mahmudah,
manakala sifat yang keji dan tercela dinamakan sifat Mazmumah dan sifat ini perlu dijauhi oleh setiap insan. Imam
al-Ghazali telah menggariskan diantara sifat-sifat Mahmudah adalah Taubat (membersihkan
hati), Khauf (takut kepada Allah), Mahabbah (kasih sayang sentiasa ingat kepada
Allah), Zuhud (menggunakan nikmat dunia
sekadar yang perlu), sabar (menahan diri
daripada keluh kesah pada suatu musibah), Syukur (memuji
setiap nikmat daripada Allah), Ikhlas (setiap perbuatan diniatkan untuk
keredhaan Allah ), Tawakal (menyerah diri sepenuhnya kepada Allah), Redha (tenang hati terhadap apa yang datang
daripada Allah) dan Zikr al-maut (sentiasa ingat mati dan
memperlengkapkan diri untuknya).
Manakala golongan sifat Mazmumah adalah banyak makan, banyak bercakap, marah, hasad, bakhil, cintakan
kemegahan, cinta dunia, bangga diri, ujub (hairan diri) dan riya' (menunjuk-nunjuk).
Seterusnya ilmu Tasawuf ini berkembang kepada
pengajian yang menyentuh tentang apakah yang dinamakan Ihsan. Ihsan itu ialah
menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak (dapat)
melihat-Nya, maka kamu merasa sentiasa diperhatikan oleh-Nya. Kesimpulannya
ihsan ini adalah al-Murāqabah iaitu
kesedaran seseorang akan kehadiran Allah yang sentiasa dirasai dari segi amalan
yang dilakukan seperti amalan lahir mahu pun batin. Jadi peringkatan
penghayatan Islam dalam maqam Ihsan adalah peringkat yang paling tinggi dan
paling istimewa.
3. Sejarah Perkembangan Dan Kepentingan Ilmu Tasawuf
3.1 Zuhud – Awal perkembangan Tasawuf
Peredaran masakini telah menyaksikan perkembangan
aktiviti dakwah secara kontemporari menarik minat individu seterusnya
memperkenalkan Islam ke serata dunia. Pada peringkat awal perkembangan ilmu
Tasawuf, dakwah bukanlah satu visi dan misi yang utama bagi ahli sufi. Mereka
hanya menjalankan ibadah secara individual, terasing serta mengamalkan perkara
apa yang menambahkan ketaqwaan dan wara’ mereka.(Abdul Qadir Isa 2008). Hal ini
ditegaskan oleh Mustafa Hilmi di dalam bukunya al-hāyah al-ruhiyyah fi al-islām kerohanian dimulakan dengan
kehidupan secara ‘takhashsuf’, wara’, zuhud, taqwa dalam aspek kehidupan yang
menjauhi kepentingan dunia. Amalan ini menjadi contoh kepada orang-orang Islam
generasi awal yang menjadikan Rasulullah S.A.W dan para sahabat sebagai ikutan
yang utama.
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya
pada diri Rasul Allah itu contoh teladan yang baik bagi orang-orang yang
mengharap kepada Allah dan mengharapkan balasan yang baik di akhirat.”
(al-Ahzab:21)
Fenomena zuhud di zaman Rasulullah S.A.W telah
memberikan inspirasi kepada para sahabat yang dapat menyaksikan akhlak baginda
secara ‘role model’. Rasulullah S.A.W telah mendidik para sahabat tentang erti
zuhud dalam kehidupan dunia dan bermatlamatkan akhirat. Sehinggakan gambaran
sifat-sifat zuhud sahabat telah di nyatakan oleh Abu ‘Utbah al-Hiwani seperti
perasaan para sahabat untuk menemui Allah S.W.T
lebih kasih kepada mereka daripada hidup. Selain itu para sahabat tidak
pernah merasa gentar menghadapi musuh yang banyak dan para sahabat tidak pernah
merasa bimbang akan terlepas kesenangan dunia kerana mereka yakin dengan rezeki
Allah S.W.T. Bukti ini dapat dilihat dengan para sahabat itu sendiri seperti
kehidupan Sayyidina Umar al-Khattab yang paling zahid sehinggakan pernah
memakai pakaian yang mempunyai dua belas tampalan sedangkan beliau ketika itu
adalah seorang Khalifah. Saidina
Uthman pula membelanjakan hartanya untuk keperluan jihad disamping menghabiskan
banyak waktu laparnya daripada kenyang, manakala saidina Ali pula diriwayatkan
menampal bajunya sendiri dan apabila ditanya beliau menjelaskan dengan tenang
iaitu, “untuk mengkhusyukkan hati dan
diikuti oleh orang-orang mukmin.”
3.2 Akhlak – Perkembangan Ilmu Tasawuf Abad
Ketiga Dan Keempat Hijrah
Pada abad ini, perkembangan ilmu Tasawuf telah berubah
kondisinya beralih dari sifat zuhud kepada penekanan akhlak. Ini dinamakan
peringkat al-akhlaqiyah sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ibn
Qayyim al-Jawziyah (w.76) dengan katanya; “orang-orang yang mengkaji tentang ilmu ini
bersepakat mengumpulkan bahawa Tasawuf ialah akhlak.” Antara tokoh-tokoh
yang muncul di abad ini adalah Abu al-Harith al-Muhasibi (w.243), Abu Yazid
Tayfur al-Bistami (w.261H) dan Hamdun al-Qassar (m.271H). Juga pada abad ini
telah muncul pelbagai kumpulan Tarekat yang menyebarkan jalan atau pun cara
mereka didalam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Kesimpulannya Tasawuf di zaman Rasulullah S.A, para sahabat, para tabien serta tabi’ tabien merupakan zaman yang paling baik dari segala aspek kerohanian. Rasulullah S.A.W tengah mengakui didalam sabdanya:
خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ
الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. قَالَ عِمْرَانُ: فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ
قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا
“Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu `alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.”
“Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. Imran berkata: Saya tidak ingat sama ada (Nabi shallallahu `alaihi wasallam) menyebut 2 atau 3 kurun selepasnya.”
(Riwayat Ahmad).
4. Bentuk Penyelewengan Dalam Pengamalan Ajaran Tasawuf
Ilmu tasawuf adalah ilmu cabang Islam yang
dilahirkan dari kalangan ahli-ahli falsafah yang sukar difahami oleh orang
awam. (Siti Norbaya Binti Abd. Kadir 2002). Justeru, ianya adalah ilmu yang
suci dan murni tetapi apabila ianya diletakkan pada bukan tempatnya, maka
kepincangan ilmu ini akan timbul. Sedangkan
ahli falsafah Tasawuf itu sendiri mempunyai perbezaan kefahaman malahan ada
yang digelar kufur, maka permasalahan ini akan menjadi lebih rumit malah
menjadi sesat apabila orang awam melibatkan diri dalam permasalahan falsafah.
4.1 Bentuk Hakikat Membatalkan Syariat
Mohammad Nidzam Abdul Kadir telah menyatakan di dalam
40 Ciri Ajaran Sesat, bentuk penyelewengan dalam pengajaran ajaran tasawuf
boleh dilihat dari segi pengamalan membatalkan hukum syariat yang mana ianya
telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya. Ini kerana hukum yang
qath‘i ats-tsubut dan qath‘i addilalah adalah wajib
dilaksanakan tanpa pelbagai alasan. Sebagai contoh ada fahaman Tasawuf yang
membatalkan segala hukum syariat ke atas individu dengan alasan telah mencapai
maqam yang tinggi didalam hakikat dan makrifat. Ibadah seperti solat lima
waktu, puasa di bulan Ramadhan, haji di Makkah dan zakat adalah kefarduan yang
tidak boleh dipertikaikan. Ianya hukum yang pasti, jazam dan muktamad.
Kesimpulannya didalam ibadat wajib dituruti segala hukum-hukum yang telah
ditetapkan. Hakikat dan makrifat adalah suatu angerah oleh Allah S.W.T kepada
hamba-Nya yang khusyuk dalam ibadah serta ikhlas dalam beramal. Allah S.W.T
telah berfirma yang bermaksud:
“Kemudian
kami jadian kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama
itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang
yang tidak mengetahui.”
4.2 Lafaz-lafaz Zikir yang pelik.
Islam menggalakkan umat-Nya memperbanyakkan
berzikir kepada Allah S.W.T untuk mendekatkan diri kepada-Nya, disamping dapat
membersihkan hati dan memperingkatkan darjat seseorang. Tetapi, ada diantara
amalan di dalam fahaman Tasawuf atau kumpulan tarekat yang mengamalkan zikir
secara pelik atau luarbiasa bagi masyarakat di luar. Contohnya apabila zikir
yang menterbalikkan ayat al-Quran. Amalan membaca al-Quran adalah dituntut dan
ganjaran pahala yang besar disamping menjadi syafaat kepada si pembacanya. Ada
ajaran tarekat yang mengamalkan surah al-Ikhlas tetapi dimulakan dengan lafaz
yang terakhir sebagai permulaan surah. Perkara ini jelas telah menyalahi hukum
al-Quran kerana al-Quran dibaca tidak menurut urutannya. Selain itu ada amalan
bacaan al-Quran yang telah ditambah dengan perkataan lain yang mana hukum
menambah atau mengurangi ayat-ayat al-Quran adalah perbuatan haram. Sebagai
contoh didalam surah al-Fatihah. Alhamdulillahi
Rabbil ‘Alamin telah ditambah Alhamdulillahi
Khaliqil ‘Alamin. (Mohammad Nidzam Abdul Kadir 2012).
4.3 Keistimewaan dan Kelebihan Seseorang
Guru
Guru adalah insan yang istimewa di atas ketinggian
ilmu, pengalaman dan implikasinya mendidik orang lain. Guru yang soleh dan
tawaduk akan diberikan keistimewaan tertentu dan ini tidak dapat dinafikan
dalam Islam. Orang kaya mempunyai kelebihan di atas hartanya dan ini dapat
memberi bantuan ke atas orang miskin. Oleh itu, yang menjadi penyelewengan
disini adalah status guru yang benar-benar dianggap hampirnya kepada Allah
S.W.T (nuraqabah) adalah guru itu
suci, qudus dan maksum terpelihara segala dosa. Istilah maksum hanya
disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sahaja yang dipandu oleh wahyu. Apabila
seseorang guru tarekat dianggap maksum dan suci oleh pengikutnya, maka guru
tersebut sewenang-wenang melanggar syariat berdasarkan status hukum yang telah
dikecualikan terhadap beliau. Jelas disini perkara ini ternyata telah terpesong
dan tergelincirkan dari konsep Nabi Muhammad S.A.W adalah insan yang paling
maksum dan tiada setaraf dengan manusia lain. (Mohammad Nidzam Abdul Kadir 2012).
4.4 Kunci Syurga.
Syurga adalah milik Allah S.W.T dan Allah
sahajalah yang berhak memasukkan ke dalam syurga sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Syurga juga bukan tertakluk milik individu atau pun mengikut pangkat atau
darjat, tetapi Allah S.W.T menjelaskan dua syarat utama ganjaran syurga didalam
firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa
yang beramal daripada amalan-amalan soleh sama ada lelaki atau wanita dalam
keadaan ia beriman, maka mereka akan masuk Syurga, dan mereka tidak akan
dizalimi walaupun sedikit.”
(Surah an-Nisa’ 4:124)
Oleh itu, jaminan syurga tidak dapat ditetapkan dengan individu yang
mengikuti sesuatu jemaah sudah di kira sebagai ahli syurga. Penghayatan dari
segi amalan soleh dan ikhlas adalah batu loncatan tetapi yang utama menuju ke
syurga adalah keampunan dan rahmat Allah S.W.T. (Mohammad Nidzam Abdul Kadir
2012).
5. Faktor Yang Menyumbang Berlakunya Penyelewengan Dalam Pengamalan Ajaran
Tasawuf.
Seseorang yang mengamalkan ilmu Tasawuf, tidak
dapat lari dari pelbagai cabaran dan dugaan yang melanda jika tanpa mendapat
hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T. Malahan ia akan menjadi satu bentuk dan
pengamalan yang menyeleweng jika tersasar dari syariat Islam. Engku Ahmad Zaki
Engku Alwi, 2007 telah menerangkan beberapa faktor berlakunya penyelewengan
ajaran sesat:
5.1 Penguatkuasaan dan Peruntukan
Undang-Undang dan Enakmen yang Lemah
Apabila dilihat senario di Malaysia,
penguatkuasaan undang-undang dan enakmen tentang berlakukanya sebarang
penyelewengan ajaran Tasawuf amat lemah. Buktinya dapat dilihat dengan kuasa
hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah kepada pesalah penyelewengan
ajaran Tasawuf dibataskan bidang kuasa oleh Perlembagaan Malaysia. Sebagai
contoh kesalahan jenayah akidah iaitu kes Ayah Pin yang dihadapkan ke Mahkamah
Syariah Besut atas tuduhan menghina Islam, sedangkan beliau bukan sahaja
mendakwa dirinya sebagai nabi, malah sebagai Tuhan. Akhirnya, beliau mengaku
bersalah dan hanya dijatuhi hukuman denda RM2,900 dan 11 bulan penjara di
Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
5.2 Cabaran Sistem Pendidikan Islam
Pengajian pendidikan Islam adalah satu pengajian
yang penting bagi mendidik individu Islam meliputi bidang yang utama iaitu al-Quran,
fardhu ain, hadis, feqah, akhlak dan juga Bahasa Arab. Secara peringkat awal,
pendidikan ini menjadi teras utama bagi masyarakat Islam sehingga menjadi
merosot dalam campur tangan pihak penjajah barat. Maka situasi ini menjadikan sistem
pendidikan liberal telah diagung-agungkan oleh masyarakat dan akhirnya menjadi
dua sistem yang berbesa seperti sistem pendidikan agama dan sekular. Oleh itu
pelajaran agama menjadi terhad dan guru agama pula tidak mampu menghubungkan
akidah tauhid dan teknologi. Natijah dari itu, falsafah ilmu tauhid tidak
berkembang secara menyeluruh dan tidak mampu menjadi benteng diri kepada
masyarakat.
5.3 Kesilapan Memilih Guru
Memilih guru amat penting dalam kehidupan ahli
Tasawuf kerana tanpa guru kita tidak dapat melihat amali-amali ilmu ini.
Tetapi, ramai yang mengambil peluang ini sebagai satu batu loncatan untuk memenuhi
hawa nafsu kebendaan, tamakkan kedudukan dan ingin dipandang mulia. Baginda
Nabi S.A.W amat takuti dengan ancaman ini sehinggkan baginda menjelaskan
didalam sabdanya yang bermaksud:
“Aku
lebih takut umatku (bertemu golongan) selain dajal daripada dajal yang sebenar.
Apabila
aku khuatir Baginda akan masuk ke rumah (tanpa memberitahu siapakah golongan
itu) aku berkata, “Ya Rasulullah! Apakah yang engkau lebih takut ke atas umatmu
daripada Dajal? Sabda Baginda, “Para Imam yang menyesatkan”.
(Riwayat Ahmad)
Sebagai contoh, bagi pengikut Tariqat Samaniah
(Ibrahim Bonjol) mempercayai kononnya guru tariqat mereka mempunyai ‘mukjizat’ iaitu dengan mengeluarkan air
daripada tangannya.(Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2007).
5.4 Kepentingan
Peribadi dan Seks
Penyelewengan
Tasawuf Tariqat itu dapat di lihat dari segi kepentingan peribadi penyebar atau
seseorang guru. Kepentingan ini juga meliputi kedudukan yang tinggi, pangkat,
dipandang mulia, inginkan habuan wang tunai dan yang paling berat adalah seks
bebas dengan mengamalkan Nikah Batin. Nikah Batin ini adalah perkahwinan yang
melanggar syariat Islam dengan diamalkan secara rahsia diantara guru atas muridnya
atau murid dengan murid itu sendiri.
(http://naqsabandiah.blogspot.my,
21.2.2016)
6. Tariqat Tasawuf Yang Diisytiharkan Sesat Di Malaysia
Apabila penguatkuasaan undang-undang mendapati
unsur-unsur penyelewengan didalam sesebuah amalan tariqat dikenalpasti, maka
penyiasatan akan dijalankan dan seterusnya penghadapan ke muka pengadilan.
Pihak Jabatan Agama seterusnya mewartakan kumpulan terbabit untuk hebahan
kepada masyarakat agar berhati-hati dan tidak tersebar luas. Engku Ahmad Zaki
Engku Awi (2007) telah menyenaraikan kumpulan yang telah diwartakan sesat di
Malaysia.
6.1
Tariqat Samaniah (Ibrahim
Bonjol)
Kumpulan ini telah muncul di Kampung Pandan, Kuala
Lumpur pada tahun 1950-an yang telah diasaskan oleh Syeikh Hj. Ibrahim bin
Abdullah @ Ibrahim bin Bonjol berasal dari Medan, Indonesia dan telah meninggal
dunia. Diantara isi ajaran ini ialah sembahyang boleh dilakukan dengan niat
sahaja dan tidak perlu mengamalkan syariat. Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri
Selangor telah menfatwakan ini ajaran sesat pada 12.1998. Warta : No:Sel.P.U.8.
Tarikh Warta: 24.9.1998. Buku panduan yang bertajuk Thabitul Qulub oleh ajaran ini juga telah diharamkan.
6.2 Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
Kumpulan ini telah berkembang Kampung Wakaf Stan,
Kubang Kerian sehingga ke negeri Selangor dan telah muncul pada tahun 1985 yang
telah diasaskan oleh Haji Ahmad Laksamana bin Omar, yang berasal dari Gual
Periuk, Pasir Mas Kelantan. Guru ini telah mengarang kitab Hakikat Insan,
Rahsia Mengenal diri dan Tajalli. Di antara isi ajaran ini ialah diri manusia
itu sendiri adalah Tuhan. Matlamat mengaji ilmu Hakikat adalah bagi menjadi
Allah dan menggunakan hadis maudu’ atau palsu. Jawatankuasa Fatwa Kerajaan
Negeri Selangor telah menfatwakan ajaran ini sesat pada 30.9.1995. No. Warta
:23.11.1995. No. Warta:P.U.44.Orang-orang Islam yang belajar dan mengamalkan
ajaran Ilmu Tajalli atau ilmu Hakikat Insan ajaran Ahmad Laksamana hendaklah
meninggalkan ajaran itu dan segera bertaubat kepada Allah S.W.T.
6.3 Tariqat Naqsyabandiah
Kadirun Yahya
Kumpulan ini telah berkembang di Rawang, Selangor
pada tahun 1970-an dan telah diasaskan oleh Profesor Kadirun Yahya. Antara isi
ajaran tariqat ini adalah kononnya ia diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad
S.A.W sebelum baginda menjadi rasul. Allah telah menurunkan nur (cahaya) ke
dalam badan Nabi Muhammad seterusnya cahaya ini diturunkan kepada salsilah-salsilah
hingga ke Profesor Kadirun Yahya sendiri. Selain itu, jika pengikut ajaran ini
tidak mampu mengerjakan haji ke Mekah, cukuplah mereka datang bersuluk di Pancabudi
di Medan. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia
pada 15-16 November 1981 di Bilik Gerakan Terengganu telah memutuskan bahawa
tariqat ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya dan mengamalkan
ajaran ini adalah sesat maka hendaklah diharamkan.
6.4 Tariqat Mufarridiah
Kumpulan ini telah muncul di Tanjung Pura Langkat,
Sumatera Utara pada tahun 1955 dan akhir tahun 1960-an masuk ke Malaysia.
Penyebar atau guru ajaran ini dikenali Syeikh Makmun bin Yahya. Antara isi
ajaran tariqat ini adalah Syeikh Makmun mengaku dirinya sebagai Imam Mahadi
bagi Islam, sebagai Nabi Isa bagi orang Kristian dan bapa segala manusi bagi
orang tiada agama. Selain itu Syeikh Makmun tidak pernah sembahyang Jumaat dan
jemaah kerana belum sembahyang di Masjidil Haram. Mufti kerajaan Negeri
Selangor mengeluarkan fatwa pada 15.9.1995. Tarikh warta: 23.11.1995. No.
Warta: P.U.49 ajaran ini bertentangan dengan ajaran Islam dan orang-orang yang
terlibat dengan ajaran ini hendaklah bertaubat.
Kesimpulannya, kebanyakan penyelewengan didalam
ajaran tasawuf dan tariqat ini menyentuh isu aqidah, keserabutan didalam
pengamalan ilmu syariat dan menurut hawa nafsu yang tidak dikawal oleh penyebar
sesuatu ajaran tariqat.
7. Kaedah Untuk Membendung Perkembangan Tariqat Tasawuf Yang Sesat.
Kerajaan Malaysia khususnya Jabatan Agama Islam peringkat Kebangsaan mahu pun peringkat negeri telah menyusun beberapa kaedah bagi membendung seterusnya menghapus segala bentuk penyebaran Tasawuf dan Tariqat sesat. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2007 telah memberi pandangan di dalam penulisan beliau diantaranya:
7.1 Peruntukan Undang-Undang Berkaitan Ajaran Sesat
Setiap pihak berkuasa tempatan agama di negeri
masing-masing memandang penyebaran tariqat tasawuf yang sesat adalah suatu
ancaman yang merbahaya dan sebagai satu virus penyakit akidah jika tidak
dibendung. Walaupun tiada peruntukan khas bagi kesalahan ajaran sesat, masih
lagi ada aplikasinya seperti ‘Takzir’
dan akta hasutan. Sebagai contoh, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)
Terengganu 2001 yang memperuntukan kesalahan berhubung akidah, bahagian II
fasal pemujaan salah dan fasal III berhubung kesucian agama Islam. Selain itu Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga telah memperketatkan jenayah ini. Seksyen 8
(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 menyatakan boleh menahan orang-orang
tertentu yang boleh membahayakan keselamatan negara Malaysia. Sebagai contoh
penangkapan terhadap pemimpin al-Arqam, Syiah, kumpulan al-Maunah dan Kumpulan
Militan Malaysia (KMM).
7.2 Debat dan Hujah
Pemahaman pengamal tasawuf dan tariqat yang menyeleweng mudah dibendung
dengan kaedah berhikmah, nasihat yang baik dan perdebatan yang baik. (Mohammad
Nidzam Abdul Kadir, 2012). Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Serulah
(manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah
dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah yang lebih
mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dia lah yang lebih
mengetahui orang-orang yang mendapat pentunjuk.
(Surah an-Nahli16:125)
Justeru itu, menjadi tugas dan kewajipan para ulamak
dan pemimpin-pemimpin agar membanteras kegiatan ajaran penyelewengan tasawuf
tariqat di kalangan masyarakat dengan cara berdiskusi dan berdebat dengan cara
yang baik. Ini kerana, jika dilihat ada dikalangan pengikut ajaran sesat ini
begitu jahil dalam agama dan kefahaman mereka yang dangkal menyebabkan mereka
terjebak.
7.3 Sistem Tauliah Mengajar
Sistem memberi tauliah kepada tenaga pengajar mahu
pun penceramah disetiap negeri adalah satu usaha yang baik bagi membanteras
gejala penyebaran yang menyeleweng. Jika pendakwah menjalankan dakwahnya tanpa
tauliah dari jabatan agama, maka tindakan undang-undang boleh diambil. Jabatan
agama boleh memantau setiap pendakwah yang mendapat tauliah berdakwah disamping
mengawal fahaman yang boleh memecah belahkan masyarakat.
8. Pendaftaran Kumpulan Tariqat
Memandang serius isu penyelewengan ajaran tasawuf
tariqat ini, maka Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah menggubal satu enakmen
yang dinamakan Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005 yang memantau
kumpulan tariqat yang berdaftar dengan enakmen ini. Di antar kumpulan tariqat
yang diluluskan pendaftaran ini adalah Tarekat
Naqsyabandiyyah Al-Kholidiyyah, Tarekat Qodiriyyah Naqsyabandiyyah, Tarekat
Al-Syazuliyah Al-Darqawiyah, Tarekat Dusuqiyyah Muhammadiah dan Tarekat
Al-Ja‘Fariyah Al-Ahmadiah Al-Muhammadiah. (http://www.muftins.gov.my. 21.2.2016).
9. Kesimpulan
Kesimpulan daripada topik yang telah
diperbahaskan, ilmu Tasawuf amat penting bagi diamalkan pada masyarakat Islam
akhir zaman ini. Segala perhambaan kepada nafsu dan hati yang keji telah banyak
dilakukan oleh manusia yang jauh dari mengingati Allah. Tasawuf ini mendidik
hati agar sentiasa mengamalkan sikap ihsan untuk mencapai darjat dan maqam yang
tinggi. Ia juga perlu seiring dengan harmoni dengan syarikat. Jika seseorang
yang hanya memegang kepada syariat dan tidak mengamalkan Tasawuf, maka jelas
perbezaan tingkah laku dan sifat hati akan menuju ke arah sifat yang mazmumah.
Segala bentuk penyelewengan yang berlaku didalam
kumpulan Tarekat adalah berpunca dari kelemahan iman dan ilmu serta pengamalan
dari sumber Al-Quran dan Sunnah. Sebagai insan biasa, sebelum seseorang itu
menceburkan diri didalam Tasawuf dan Tarekat, perlulah mendalami dan mengkaji
beberapa faktor terutama sekali didalam pemilihan guru tasawuf agar akidah
tidak terpesong.
Akhir sekali, ilmu Tasawuf ini masih lagi dapat di
amalkan di negara Malaysia. Ini kerana pihak pemerintah negara khususnya di
setiap Jabatan Agama Negeri telah mengambil pelbagai langkah dan peraturan bagi
memantau dan mengawasi setiap perjalanan amalan Tasawuf disamping ianya dapat
menjaga kesucian dan keharmonian seteruskanya menuju kepada keredaan Allah
S.W.T.
RUJUKAN
Engku Ahmad Zaki
Engku Alwi, 2007, Ajaran Sesat Mengenali Jalan Yang Terpesong,
PTK Islamika:
Selangor
Hilmi, Muhammad Mustafa. 1970. Al-Hayah al-Ruhiyyah fi al-Islam. Al-Hay‘an
al-Misriyyah: Mesir
Mohammad Nidzam Abdul Kadir. 2012. 40 Ciri Ajaran Sesat. Telaga Biru Sdn.
Bhd: Kuala Lumpur.
Hamka.2007.Tasawuf
Moden.Pustaka Dini:Kuala Lumpur
Ismail Mamat.
2011. Kaedah Pengajian Usuluddin. Open University Malaysia: Kuala Lumpur
Siti Norbaya Abd. Kadir. 2002. Ajaran Sesat Sejarah Kemunculan dan
Ciri-cirinya. Al-Hidayah Publishers: Kuala Lumpur
Abdul Qadir Isa.2008.
Haqaiq Tasawuf. Universiti Kebangsaan Malaysia
Yusri Abd. Karim. 1965. Indahnya Tasawuf dan hidup sufi. Yamani
Angle:Selangor.
http://www.muftins.gov.my
(21.2.2016)
http://naqsabandiah.blogspot.my
(21.2.2016)