Thursday, March 21, 2013

Basuh kaki di sinki

Memori ini teringat kembali ketika saya bekerja di Cyberjaya (2002). Kebiasaannya kalau nak solat kita terpaksa mengambil wudhuk didalam tandas.  Tandas ini pula berkongsi dengan syarikat-syarikat lain yang menyewa didalam satu inkubator ( nama bangunan ).

Seperti biasa saya akan mengambil wudhuk di sinki.  Ini kerana lebih selesa berbanding ambil wudhuk didalam tandas. Bila nak membasuh kaki saya akan tinggikan kaki dan basuh melalui paip sinki.  Staf muslim yang lain pun biasa buat macam tu.

Ada lah seorang hamba Allah dari syarikat yang lain telah nampak saya berwudhuk sedemikian. Dia ambil wudhuk di paip sebelah mangkuk tandas. Apabila dia selesai berwudhuk dia menegur  saya. "Nanti kalau bangsa lain nampak dia akan jijik..lain kali jangan basuh kaki guna paip sinki!".

Saya agak terkejut dengan rasa malu dengan tegurn sedemikian rupa. "Apa aku nak balas balik nati?" Didalam hati ni timbul sedikit rasa kurang selesa. Akhirnya dengan bersahaja saya membalas "kita orang Islam basuh kaki 5 kali sehari..!!"

Hamba Allah tadi tidak sangka yang saya boleh jawab macamtu.  Akhirnya dia kata "Ye la tuh!!" macam nada marah akhirnya beredar keluar dari tandas.

Kita beruntung sebagai orang Islam yang mementingkan kebersihan. Dengan berwudhuk banyak sebenarnya fadhilat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.  Semoga kita ditetapak iman dan rahmat.

Hati Kama.

Berwudhuklah dengan sempurna (gambar dari internet)

Wednesday, March 20, 2013

Rumah hak milik kekal


Setiap manusia yang hidup dimuka bumi ini pasti mengidamkan sebuah rumah idaman.  Ini kerana dengan memiliki setiap rumah idaman adalah kemuncak kebahagiaan hidup masing-masing.  Sudahlah tentulah rumah yang diingini pastinya besar, mempunyai taman, dekorasi yang  berkonsep,  dan juga persekitaran yang tenang dan mendamaikan.
                Jika kita ingin membeli rumah, pastikan juga kejiranan kita terjaga.  Paling utama kita sebagai muslim perlulah memilih kawasan perumahan yang mempunyai masjid.  Masjid sebagai rumah Allah dimuka bumi ini akan dikurniakan Allah rahmat dan kebahagiaan jika diimarahkan.
                Pernah suatu ketika isteri saya memasang impian untuk membeli sebuah rumah dikawasan perumahan.  Kos rumah sekarang ini semakin bertambah. Adik beradik saya kebanyakannya dah mempunyai rumah yang lebih besar daripada saya.  Saya menyokong impian isteri saya tetapi buat masa sekarang bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita.  Walaupun rumah yang kita duduki ini sederhana tidak terlalu kecil atau besar, tetapi apa yang saya impikan adalah rahmat didalam rumah ini.  Biarlah penghuni didalam rumah ini sentiasa mengingati Allah dan menjauhi segala maksiat. 
                Paling penting saya ingin menyediakan satu mahligai impian yang mempunyai status hakmilik kekal untuk keluarga saya. Itulah rumah impian di akhirat nanti.  Pelaburan pahala perlulah dihimpun dari sekarang untuk hidup yang berbahagia akan datang.


Masjid Raudhatul Mukminin Sg. Pinang Bandar. Disinilah penulis bertugas sebagai Bilal.

Tuesday, March 19, 2013

Teruskan usaha murnimu..



Sejak di bangku sekolah lagi ketika di Sekolah Islam Al Farabi dan Hishamudin Sungai Berteh Klang, saya telah didedahkan dengan irama nasyid. Memang tidak dinafikan pada ketika itu, irama nasyid yang saya minati adalah kumpulan Nada Murni penyanyi ketika itu Ustaz Asri ( Allahyarham ). Teringat lagi rakan-rakan nasyid ketika sekolah, Mohd Idham Ibrahim dan Abdul Karim Mohtey. Memang kenangan terindah pada ketika itu.
Setelah 20 tahun berlalu, rupa-rupanya saya telah digerakkan oleh Allah S.W.T agar meneruskan kembali nasyid ini yang boleh dijadikan medium dakwah.  Alhamdulillah saya telah dikenalkan dengan dua orang remaja yang begitu bersungguh-sunguh yang tinggal di kampung Sungai Pinang ini. Fitri dan Aqra adalah dua bersaudara dan sahabat baik yang aktif dalam kumpulan nasyid disekolah mahupun di kampung. Saya amat kagum dengan kegigihan mereka. 
Akhirnya dengan pengalaman yang sedikit ini saya cuba menyokong mereka.  Alhamdulillah peralatan muzik dan PA Sistem saya kumpulkan sedikit demi sedikit untuk mereka berlatih. Saya sediakan bilik kecil untuk dijadikan mini studio untuk mereka.  Tergambar kepuasan dan kegembiraan di hati dan wajah mereka. Saya berikan nama kumpulan nasyid ini “ Wahdini “ yang bermaksud berikan daku petunjuk.
Ahli kumpulan terus bertambah. Mereka masih muda dan tidak banyak pengalaman.  Maka saya sebagai yang dewasa perlulah membimbing mereka supaya menuju kepada jalan yang diredhoi Allah.
Syukurlah mereka memilih jalan nasyid sebagai hiburan. Bukannya irama yang diagung-agungkan dari barat atau Korea Selatan.  Semoga penglibatan anak muda didalam nasyid sedikit sebanyak dapat mendidik hati mereka didalam mengingati Allah S.W.T dan mencintai Rasulullah S.W.T.
Hidupku hanya UntukMu.

 Semoga berjaya kepada belia Kampung Sungai Pinang diatas penubuhan kumpulan nasyid "Wahdini". Semogoa kita menuju jalan kearah keredhoaan Allah S.W.T.

Sejarah Perkembangan Tasawuf dan Tarekat di Malaysia

Oleh: Kamarulnizam Sani Sungai Pinang, Klang 1. Pengenalan Ilmu pengajian Tasawuf adalah salah satu dari cabang pengajian Isla...