Thursday, October 1, 2009

Bertemu Pak Haji Si Penjual Ayam

Semalam setelah selesai appointment dengan SME di Petaling Jaya, aku terus singgah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk melawat tuan rumah yang hendak menyewakan rumah untuk aku dijadikan Taska.
Pak Haji Yusop yang sedang dirawat di wad 7C dimasukkan ke situ pada hari raya ke 4 akibat sakit jantung hinggalah sekarang. Apabila melihat aku datang melawat Pak haji Yusop yang selama ini pendiam mula tersenyum. Dan aku seperti biasa bertanyakan tentang kesihatan beliau. Kami pun mula berborak dari perkara kesihatan hinggalah perkara keluarga. Apa yang mengejutkan hati aku selama berborak dengan Haji Yusop ini walaupun beliau yang low profile aku boleh kategorikan beliau sebagai seorang usahawan yang paling berjaya.

Bayangkan beliau mula berniaga ayam dari muda hingga ke hari ini. Tak pernah kerja makan gaji. Dan dengan berniaga ayam pada tahun 80 an beliau sudah mendapatkan pendapatan bersih RM200 sehari. Ini bermakna pada tahun 80an boleh dikatakan kadar gajinya berjumlah RM3000. Pada waktu itu memang mewah. Tahun 1985 ketika ekonomi sedang gawat beliau boleh membeli sebuah rumah teres corner lot di Klang. Hasil duit dari menjual ayam itu juga Haji Yusop membeli tanah di Meru dan Kampung Jawa dan melabur dengan membina rumah sewa. Sekarang ini Haji Yusop sudah mempunyai lebing kurang 20 biji rumah sewa.

Seterusnya beliau oleh membeli sebiji lagi rumah teres yang beliau sedang duduk ini. Duit hasil ayam tadi beliau membesarkan anak-anak dan boleh dikatakan anak-anak haji Yusop ini berjawatan tinggi.

Aku terpegun dengan apa yang diceritakan oleh Haji Yusop kepada aku. Sekarang haji Yusop dah menjangkau umur 70 tahun. Dalam umur pencen macam nih aku rasa income bulanan Pak Haji nih mungkin mencecah RM 5000 lebih. Ini belum lagi duit simpanan didalam bank. Hidup Alhamdulillah berkat dan bahagia cuma kesihatan ajer yang tidak mengizinkan.

Itulah sedikit sebanyak kisaha Pak Yusop si penjual ayam.

sekian, Hati Kama.




(Sekadar gambar hiasan dari internet)
Siapa sangka penjual ayam di pasar ini, setiap hari berbau ayam dan hanyir, memakai selipar jepun setiap hari, baju pulak nampak lusuh tapi sebenarnya mereka ini adalah golongan "Jutawan Senyap" yang kita tidak nampak kemewahan mereka.

Tuesday, September 1, 2009

Taska di serbu penguatkuasa MPK kali ke-5

Alhamdulillah Taska AlRidha telah diserbu lagi oleh penguatkuasa MPK pada minggu yang lepas dengan tanpa apa sebab. Semasa kejadian ketika isteriku berada di Taska, telah datang seramai 4 orang penguatkuasa berpangkat rendah menanyakan soalan yang sama iaitu meminta 'lesen perniagaan'.

Isteriku menjadi sedikit berang dengan tindakan penguatkuasa MPK tadi tapi masih lagi boleh mengawal keadaan. Isteriku menerangkan kepada mereka bahawa kategori Taska AlRidha adalah jenis Taska dirumah dan tidak memerlukan lesen perniagaan dari PBT melainkan Taska Intitusi. Isteriku menerangkan lagi yang pihak JKM telah memaklumkan kepada pihak MPK. Surat dari JKM pun telah aku hantar ke MPK pada bulan Jun lepas. Segala dokumen mengenai Taska telah isteriku tunjukkan satu persatu.

Penguatkuasa MPK tadi tak faham lagi. Akhir sekali mereka beransur dan akan memeriksa di pejabat. Agaknya mereka akan datang lagi untuk buat serbuan. Aku pun agak terkilan dengan kejadian tadi. Isteriku mengasuh anak-anak, bukan kerja buka kedai judi. Sampai 5 kali diorang datang siap tangkap gambar. Semua prosedur untuk membuka Taska telah kami ikut dengan guideline oleh JKM.

(Penguatkuasa MPK - sekadar gambar hiasan http://chilabaeys.blogspot.com)

Aku tak puas hati. Petang itu juga aku bersama Ketua Kampung Sungai Pinang dan Isteriku kami menyerbu pulak pejabat penguatkuasa MPK. Sampai di pejabat penguatkuasa kami berjumpa pegawai penguatkuasa bernama Radzi. Kami tak takut sebab kami berani kerana benar.

Mula-mula aku slow talk dengan pegawai tadi. Dengan angkuh dia menjawab dia terima aduan dan bertindak diatas arahan pihak atasan. Lepas tuh aku pun counter balik dengan soalan yang tak boleh dia jawab. Aku cakap yang Taska di rumah tak perlu lesen perniagaan. Dia kata dia tak dapat maklum balas. Aku tanya balik surat dari JKM ke MPK aku hantar by hand ke ibupejabat pada bulan Jun lepas mana perginya. Dia tiba-tiba arahkan bawahan dia call ibupejabat tanyakan surat tadi..dan kakitangan tadi cakap surat tuh takder. Terus muka pegawai penguatkuasa tadi merah padam diam tak berkata apa.

Akhir sekali aku cakap baik-baik. Encik sekarang saya dah tahu apa masalahnya. Masalahnya maklumat dari ibupejabat tak sampai ke bawahan. Baru puas hati aku. Pegawai penguatkuasa tadi diam tak tahu nak cakap apa.

Aku tinggalkan pejabat penguatkuasa pulang ke rumah. Isteriku masih lagi trauma dengan kejadian tadi.Aku memohon pada Allah minta ditunjukkan jalan keluar dari masalah ini. Akhirnya Allah mengabulkan doa orang yang dizalimi. Petang itu juga ada hamba Allah yang menelefon aku nak berjumpa malam nih lepas terawih berkenaan hal penting. Akhirnya kami pun berjumpa.

Setelah berjumpa dengan hamba Allah tadi dia memaklumkan pada aku yang dia dapat laporan ada orang buat aduan kepada pihak MPK. Aku pun balas balik yang penguatkuasa MPK dah datang dah petang tadi. Dia terkejut besar sebab aduan tuh baru semalam dia dapat, selang sehari terus MPK serbu. Selalunya penguatkuasa MPK akan ambil masa seminggu.

Aku tanya pada dia siapa yang buat aduan. Dia tak bagi. Tapi dia kata aduan tuh macam jenis aduan hasad dengki. Aduan tuh berbunyi Taska dibina ditempat yang tak sesuai, kemudian taska tadi mencemarkan alam sekitar (menyebabkan kawasan jadi kotor), MPK sila ambil tindakan segera!!! Astaghfirullah...kalau Taska aku tu tak sesuai, pegawai JKM dah datang dah ke tempat tuh buat pemeriksaan..kenapa permohonan di luluskan lagi satu pasal kebersihan...aku bukan jual sayur dan ikan kat pasar malam yang sampah berlambak-lambak...

Akhirnya masalah semua ini adalah berpunca dari hasad dengki jiran-jiran yang tidak boleh melihat bangsa sendiri maju. Begitulah sikap orang melayu. Tak habis-habis hasad dan iri hati.

Aku dan isteri menganggap ini sebagai cabaran dan dugaan sebelum kita berjaya. Orang yang hasad dengki kami dah maafkan. Tak tahulah lepas nih apa lagi yang diorang nak buat. Kami cuma mengharap pertolongan dari Allah. Dari cara halus sampai ke cara kasar aku tetap yakin Allah bersamaku.

Sekian.

Hati kama.

Bangunan MPK yang menjadi kebanggaan warga Klang.

Monday, July 20, 2009

'Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah' Oleh: Ghafani Awang Teh (JAKIM)

Sebagai menjadi panduan bagi kita ahli sunnah waljamaah.

Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kemabli konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah ( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.

. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).

. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.

. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).

. Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.

. Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.

. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya.

. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.

Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.

. Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.

. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.

. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.

. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.

. Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.

. Amalan tariqah dilarang sama sekali.

. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.


Tarikh : 23 Disember 2006
Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 8745

Thursday, July 16, 2009

Perang Sihir Sudah Bermula

Sehari selepas aku dan isteri membuat jamuan Majlis Suai Kenal dan Merasmikan Taska kami, (sila lihat http://dihatikama.blogspot.com/2009/07/majlis-suai-kenal-taksa-al-ridha.html) aku telah dikejut satu panggilan telefon dari Isteri di tempat kerja. Beliau mengadu yang sakit kepala dan buku lali kaki menjadi bisa selepas menyidai kain di jemuran. Aku pada mula hanya beranggapan bahawa ini penyakit biasa.

Akhirnya rasa bimbang didalam hati ini aku mengambil keputusan kerja separuh hari dan terus bergegas pulang ke rumah. Sampai di rumah perasaan bimbang terus menghantui aku. Aku lihat buku lali isteriku membengkak besar dan menggelembung seperti ada cecair didalamnya. Aku mendapatkan kepastian adakah beliau ada jatuh atau digigit serangga berbisa?. Isteriku menafikannya. Lebih menyedihkan isteri langsung tidak boleh berjalan dan perlu dipapah. Aku tak tahan menahan kesedihan..hanya didalam hati ini aku menangis..Ya Allah berilah kesabaran kepada hambamu ini.

(Sekadar gambar perhiasan dari internet)

Aku mengambil keputusan petang itu juga membawa isteriku berjumpa Ustaz Sayid Habib Abdul Razak di Kapar Klang. Apabila di lihat ternyata isteriku telah disihir dan dirumahku telah ditanam barang sihir sebanyak 3 tempat. Aku beristighfar panjang...kenapa manusia ini hasad dan dengki mengikut jalan Syaitan? Tanpa berlengah aku memohon pertolongan Ustaz untuk mengeluarkan barang-barang sihir.

Malam Isnin 6 Julai 2009, Ustaz Habib sampai diperkarangan rumah aku. Barang sihir telah dikesan ditabur betul dihadapan pintu masuk rumah. Ustaz menyatakan 2 barang ditanam sudah lama dan 1 baru saja ditanam. Ustaz juga hampir termuntah kerana barang yang baru adalah kuat. Barang sihir tadi telah aku buang ke Sungai Kapar.

Akhirnya isteriku telah dirawat oleh Ustaz Habib. Alhamdulillah hingga sekarang kesihatan isteriku telah beransur sihat..aku bersyukur pada Allah. Ini bukan kali pertama isteriku disihir tetapi sudah 4 kali. Kali pertama selepas aku dan isteri buka kedai percetakan dia mengalami batuk kering yang sangat lama. Ke 2 beliau telah diserang kelenjar angin didalam badan, Ke-3 beliau mengalami bisa di belakang badan. Ke-4 yang sekarang ini sehingga beliau tumbang. Sudah banyak juga aku pergi mendapatkan rawatan ke Meru, Kapar, Sijangkang, KL dan Johor. Duit pun banyak habis. Tapi itu tak kisah asalkan isteriku selamat.

Aku mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Habib Abdul Razak, kepada Abang Sabree dan 2 adik angkat aku Azman dan Azlan. Kepada manusia yang hasad dengki aku dah maafkan perbuatan kamu semua dan bertaubatlah kepada Allah sementara pintu taubat terbuka untuk mu. Tiada gunanya..nak kata aku senang dan kaya tidak juga aku hanya pakai kereta kancil, rumah pun kecil apa yang korang nak dengki!

Kepada isteriku yang tercinta..bersabarlah..Allah akan sentiasa mengasihi insan yang bersabar..isteriku hanya mampu mengalirkan airmata.

Tetapi bagiku, ini adalah sebagai jihad fisabilillah menumpaskan orang Musyrik...hanya kalimah Laa Ilaa haa Illallah perisai ku..

“Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah An-Nisaa’, ayat 48)

Ayat mencegah santau


Wasalam

Sunday, July 12, 2009

Majlis Suai Kenal Taska Al-Ridha 5 Julai 2009

Taska AlRidha 5 Julai 2009 - Alhamdulillah setelah 2 minggu berturut-turut aku mengambil cuti dari tempat kerja, isteriku pun tamat kursus asas Taska anjuran Persatuan Taska Negeri Selangor . Penat, letih suka dan duka menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan oleh isteriku itu.

Aku pun kena berkorban dari tempat kerja untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Aku mengucapkan terimat kasih yang amat sangat pada boss MPU dan MMU cynergy terutama Encik Lazi yang bertolak ansur dengan pekerjanya. Semoga Allah merahmati Encik Lazi sekeluarga.

Tiba masanya pihak pengurusan Taska Al-Ridha menjalankan satu aktiviti yang melibatkan pihak Taska, ibu bapa dan pegawai JKM dengan menganjurkan majlis suai kenal. Turut diundang adalah ketua kampung Sungai Pinang Bandar bersama isteri.

Dari kiri : Puan Shima (Pengusaha Taska AlRidha), Puan Norizan (Pegawai JKM) dan Encik Hamdan (Ketua Kampung Sungai Pinang )


Ibu bapa penjaga bersama-sama anak masing-masing datang seawal 9.30 pagi bagi mendengar taklimat dari pegawai JKM.

Pihak Taska AlRidha mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibubapa kanak-kanak yang sudi hadir pada hari tersebut. Semoga majlis suai kenal ini merapatkan lagi hubungan diantara ibu bapa penjaga dan pihak Taska.

Thursday, July 9, 2009

Ujian Kenaikan Bengkung 4 Julai 2009

4 Julai 2009 bertempat di Masjid Raudhatul Mukminin telah berlangsung ujian kenaikan bengkung gabungan 3 gelanggang dalam daerah Klang.

Pada hari itu aku telah ditugaskan untuk menjadi penguji kenaikan bengkung bagi peringkat kaak-kanak. Alhamdulillah acara program pada hari itu berjalan dengan lancar.

Bergambar bersama-sama gurulatih selepas selesai ujian.

Siapa berani rapat!!!


Gelanggang Masjid Raudhatul Mukminin Sungai Pinang Bandar.

Wednesday, May 13, 2009

Bukan berdarah Pendekar


15 Mei, Semalam aku menerima sms dari Azman (adik seperguruan) dan aku baca sms dia yang berbunyi "Abang kama berjalan macam pendekarlah!".

Pendekar! hmmm terus aku balas sms pada Azman balik yang berbunyi "Alhamdulillah ini adalah anugerah dari Allah, hanya Allah yang berkuasa segala-galanya."

Kalau cerita bab pendekar nih tentulah menyentuh bab ilmu persilatan. Nak kata aku berdarah pendekar tak tahulah pulak salasilah keturunan aku nih. Yang aku tahu aku nih berketurunan "Bugis" maka memanglah orang Bugis nih kalau kita kaji Sejarah memang gagah didalam ilmu persilatan.

Aku memang meminati ilmu silat memang dari kecil lagi, teringat sewaktu aku tingkatan 3, aku sanggup ditampar dengan ayah kerana semata-mata nak mempelajari ilmu silat. Tetapi sikap degil dan keras kepala aku nih aku belajar secara sembunyi-sembunyi akhirnya emak dan ayah tak boleh nak cakap apa.

Seni Silat yang mula-mula sekali aku belajar adalah silat pulut iaitu Silat Sunda, kemudian tuh Silat Ca Kar La, Silat Lincah dan akhir sekali Silat Gayong dan insyallah selama-lamanya aku tetap bersama Gayong. Kalau nak tahu Gayong nih dari keturunan Bugislah.

Itulah kenangan aku didalam mempelajari ilmu persilatan. Aku cuba pelihara seni warisan bangsa agar tidak lapuk dek hujan. Memang aku bukan berdarah Pendekar.


Bersama Cikgu Kamal, Gurulatih PSSGM


Dari kiri: Rifki, Anep, Cikgu Kamal, Kama dan Fadli.

Tuesday, May 12, 2009

Masa berlalu dan pergi terlalu cepat

Alhamdulillah bulan April lepas telah cukup tempoh setahun kontrak aku berkhidmat sebagai Graphic Designer di MMU Cynergy didalam pembangunan e-Bahan. Banyak kenangan manis, masam dan masin selama aku bekerja disini.

Alhamdulillah tak sampai setahun aku kerja aku telah dinaikkan taraf kerja kat sini sebagai Project Leader. Aku terima dengan hati yang terbuka walupun aku tahu risiko yang akan aku tanggung nanti. Tapi yang penting aku anggap ianya sebagai satu cabaran dalam hidup aku.

Rezeki aku dipermudahkan, aku telah disambung kontrak untuk tempoh setahun lagi. Alhamdulillah aku panjatkan kseyukuran yang tidak terhingga kepada Allah. Sekarang nih aku kena fokus sepenuhnya terhadap projek ini. Aku akan bertahan selama mana yang aku mampu. Hingga akhirnya kalau kemampuan aku nih tak dapat menandingi dugaan yang akan datang, aku kena cari jalan lain, PLAN B.

Tapi apa PLAN B tu? tunggu ajerlah.....


Inilah kerja rutin aku. Kontrak tamat bulan 4 tahun depan. Masa berlalu dengan cepat. Aku akan merindui komputer yang banyak berbakti ini.

Tuesday, May 5, 2009

S.P.I.E.S Anak Selangor

1 Mei 2009 telah berlangsung satu program pengenalan tentang pembangunan S.P.I.E.S yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Selangor.

Program ini lebih menanamkan sikap jati diri dan keluhuran hati setiap rakyat Selangor. Aku memang dah pergi lama dah program SPIES ini semasa mula-mula dilantik menjadi setiausaha JKKK dan sekarang peringkat belia pula hendak di SPIESkan.

Aku telah dilantik oleh Datuk penghulu mempengerusikan program tersebut. (Maaf gambar blur sebab ditangkap dari jarak jauh)


Penceramah pengenalan SPIES Dr. Rodziah dari Seketeriat Kerajaan Negeri Selangor.


Datuk penghulu bersama-sama ketua kampung dan belia dan beliawanis mukim Rantau Panjang khusyuk mendengar taklimat SPIES.

Ketua kampung Sungai Pinang bersama Dr. Rodziah.

Akhir sekali aku berbangga menjadi anak Selangor. Semoga negeri Selangor tetap maju dan sejahtera.

_________________________________________________________________
IKLAN
1)Mencetak T-Shirt. Sila klik disini.

Sunday, April 19, 2009

Minggu yang sibuk 18 dan 19 April 2009

18 April 2009 - Berlangsung mesyuarat AJK tertinggi Persatuan Ikhawan Al-Khidmah Selangor dan Kuala Lumpur bertempat di masjid Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam.

Mesyuarat telah dipengerusi oleh Naib Presiden AlKhidmah, Tuan Haji Sulaiman.


19 April 2009 - Berlangsung majlis dialog bersama JKKK, ADUN Sungai Pinang, Ahli Majlis MPK dan Pegawai Daerah Klang di Pejabat JKKK Kampung Batu 3, Klang.

Bergambar bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor merangkap ADUN Sungai Pinang Y.B Teng Chang Kim.

Sunday, April 5, 2009

Lawatan keluarga Farah dan Bob ke Kolam Ikan Keli Pak Rahman

5 April 2009, - Kolam penternakan ikan keli Pak Rahman hari ini diceriakan dengan kehadiran keluarga Farah dan Bob dari Sarawak. Kehadiran tetamu dari Sarawak itu disambut dengan mesra oleh Pak Rahman sekeluarga.

Adik Farissa dan Mama Farah sedang menjamu selera. Kesian adik farissa kepanasan.


Seronoknya makan ramai-ramai secara kampung. Menu utama ikan keli masak lemak cili padi dan ikan keli masak berlada. Ditambah pula dengan sambal petai ikan bilis. Terliur dibuatnya.Waah kelihatan Bob sedang khusyuk melayan ikan keli.

Selepas makan melawat kolam. Bergambar bersama-sama sebelum pulang. Dari kiri ayah Bob dan Aisyah. Pak rahman dan Isteri, Mummy Bob sedang duduk bersama Atuk. Bob, farah dan Farissa dan hujung sekali aku, Ridha dan isteri.

Ok semoga tali silaturrahim diikat diantara Johor dan Sarawak akan berkekalan.

......................................................................................................................................................
IKLAN.
1) KS MEDIA

Monday, March 30, 2009

Majlis Haflah Maulidurrasul AlKhidmah 2009

Sambutan Majlis Haflah Maulidurrasul AlKhidmah 2009 bertempat di Masjid Hisamuddin Salak Tinggi Sepang pada 27 Mac 2009.

Didalam kawasan masjid Hisamuddin, Salak Tinggi Sepang.


Kepimpinan AlKhidmah dari kiri Tuan Haji Sulaiman (Naib Presiden), Tuan Haji Hassan dan Yang Berbahagia Datuk Talha (Presiden AlKhidmah)


Datuk bersama wakil Jabatan Agama Islam bergambar bersama Kiyai Marzuki, Universiy Malang, Indonesia.


Jemaah AlKhidmah yang hadir dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.


Barisan Habaib, Kiyai dan Alim Ulamak turut membarokahkan majlis ini.


Kumpulan Kompang dari Pesantren kedinding, Surabaya Indonesia.



Wakil Jabatan Kerajaan dan AlKhidmah.


Bersama KH Marzuki Mustamar dari Islamic University of Malang, Indonesia



Tuesday, March 24, 2009

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Siti Aisyah.

Alhamdulillah cita-cita aku dan isteri hendak mengusahakan pusat jagaan kanak-kanak kini tercapai. Baru sebulan lebih pusat penjagaan ini dibuka kini sudah ada 5 kanak-kanak yang dijaga.

Pusat penjagaan kanak-kanak ini dibuka 5 hari seminggu dari pukul 7.00 pagi hingga 6.30 petang ini turut dibantu dengan seorang pembantu iaitu seorang ibu yang berpengalaman didalam mengasuh kanak-kanak ini. Kalau ada ibu nak hantar anak hari Sabtu kira OT. Hari Ahad tutup.


Promosi dengan menggunakan banner.


Inilah penyambut tetamu Nurseri ini. Nama dia Ahmad Ridha. Dialah ketua bagi kanak-kanak kat sini.


Dalam nurseri yang lapang. Kelihatan kak Aida pembantu nurseri disini. Ini orang tempatan tau bukan import-import dari seberang.


Diantara penghuni terawal di sini. Kelihatan Ahmad Ridha begitu ceria dan periang. Anak sapalah nih????

Jadi kepada sesiapa yang tinggal di area Klang terutamanya Sungai Pinang kalau nak hantar anak-anak boleh lah menghubungi Puan Shima ditalian 019-388 2959.

IKLAN.
1)Ingin membuat tempahan rubber stamp. Klik disini.

Monday, March 23, 2009

Ketenangan di Kampung Halaman

Minggu yang sibuk dengan kerja menjadikan stress aku semakin menjadi-jadi. Akhirnya aku ambil keputusan balik ke kampung isteriku di Kampung Melayu Batu 5, Sri Lalang Kluang, Johor.

Inilah rumah bapa mertuaku, Abdul Rahman Bin Haji Yahya atau pun dikenali dengan Pak Rahman. Rumah yang berusia lebih 80 tahun ini memang unik dan klasik. Bapa mertuaku adalah seorang berketurunan Banjar, tak tahulah Banjar jenis alai atau Banjarmasin.Tapi bahasa Banjar yang aku tahu adalah warek,kulis dan haratbanar gak (tak tahulah betul atau tidak)

Haaa inilah aktiviti yang best bila aku balik ke kampung. Bapa mertuaku baru sahaja beberapa bulan menjadi usahawan dengan menternak dan menjual ikan keli. Inilah first time aku tangkap ikan keli dengan cara yang mudah. Goreng pun sedap.

Ikan ni kalau sengat aku aku sengat dia balik.

Kat sini kolam induk. Kalau nak tahu kat dalam ni ada keli Afrika sebesar betis beb.

Ini tapak kolam ikan yang baru hendak dibina. Perancangan menternak ikan keli secara organik. Cayalah.

Kat dalam kolam nih airnya tak berbau, bersih.

Pandangan kolam ikan dari luar.


Alhamdulillah..puas dengan hasil tangkapan hari ini.


My favourite petai segar yang masih belum lagi dipetik dari pokok.


banyaknya bunga durian bayangkan kalau dah jadi buah...sure lebat.

1) Nak cetak T-Shirt. Klik Sini

Sunday, March 15, 2009

Kursus mencetak T-Shirt (Azmie T-Shirt)

Menjalani kursus mencetak T-Shirt di Pusat Latihan mencetak T-Shirt Azmie T-Shirt, Wangsa Melawati Kuala Lumpur.
Inilah sifu bagi mencetak T-Shirt, Brother Azmie. Cara penyampaian agak menarik dan mudah difahami.


Diantara hasil kreatif Brother Azmie.


Alhamdulillah lepas dapat sijil bersemangat aku nak buat bisnes cetak T-Shirt.


Selepas tamat kursus dapat sijil.


Bisness Bro Azmie yang tak cukup tangan.

................................................................................
IKLAN
1) Ingin menempah T-Shirt yang dicetak? Sila klik disini.

Sejarah Perkembangan Tasawuf dan Tarekat di Malaysia

Oleh: Kamarulnizam Sani Sungai Pinang, Klang 1. Pengenalan Ilmu pengajian Tasawuf adalah salah satu dari cabang pengajian Isla...